MERAK Jalanan nak tegur sikit syarikat pemberi pinjam wang berlesen atau ‘along halal’ yang begitu mudah menerima permohonan penghutang.
Ceritanya begini, Merak Jalanan menerima panggilan bertalu-talu daripada nombor tidak dikenali. Disebabkan itu, Merak Jalanan tidak mengangkat telefon.
Tapi disebabkan lebih kurang 10 kali dalam sehari dapat panggilan daripada nombor sama, Merak Jalanan angkat jugalah telefon untuk meleraikan tanda tanya.
Rupa-rupanya ia panggilan daripada operator pemungut hutang sebuah syarikat ‘along halal’ yang sedang mencari penghutangnya yang gagal dihubungi.
Mereka memberitahu penghutang itu menggunakan nama penuh dan nombor telefon Merak Jalanan, diisytiharkan sebagai rakan sebagai rujukan. Naik minyaklah Merak Jalanan sebab tidak kenal pun penghutang tersebut.
Merak Jalanan mempersoalkan syarikat itu kerana sewenang-wenangnya menerima data peribadi orang lain tanpa menyelidik terlebih dahulu. Syarikat itu beri alasan mereka tiada kawalan untuk menghalang pelanggan meletakkan nombor rujukan.
Nama yang diberikan perlu bersedia untuk menerima panggilan sekiranya penghutang gagal membuat bayaran.
Merak Jalanan tak faham dengan modus operandi along berlesen ini. Nampak sangat mereka tidak kisah data peribadi orang dimanipulasikan, digunakan tanpa kerelaan dan pengetahuan.
Langsung tiada tanggungjawab!
Merak Jalanan berharap pihak berkaitan seperti Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang menguruskan pemberian lesen kepada syarikat dalam sektor kredit komuniti melihat perkara ini.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia juga perlu tegas menguatkuasakan peranan mereka kerana terang-terangan data peribadi pengguna telah dimanipulasikan.
Ini yang terjadi pada Merak Jalanan. Mungkin ada lagi yang senasib.