Wanita warga emas diacu pisau di leher, disamun dalam rumah

Iklan
Hantaran di Facebook mengenai kejadian yang berlaku di Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani.

SUNGAI PETANI - Seorang wanita warga emas berdepan detik cemas diacu pisau di leher dalam kejadian samun dekat Bandar Puteri Jaya di sini pada Ahad.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 10.30 malam itu disedari ketika terdengar bunyi suspek masuk melalui pintu kaca rumah mangsa.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Wan Azharudin Wan Ismail berkata, polis menerima maklumat kejadian pada jam 12.36 tengah malam.

"Hasil siasatan mendapati semasa mangsa yang berusia 68 tahun berada dalam bilik tidur, telah terdengar bunyi besi bergesel di ruang tamu.

Iklan

"Mangsa yang keluar untuk periksa keadaan bagaimanapun terkejut setelah ternampak seorang lelaki tidak dikenali berada di pintu ruang tamu rumahnya," jelas beliau.

Menurutnya, suspek telah mengacu pisau ke leher mangsa dengan mengarahkan supaya diam dan membawa masuk ke dalam bilik.

Iklan

Difahamkan, suspek turut membawa sebatang besi panjang.

Menurut Wan Azharudin, suspek kemudian menyelongkar almari untuk mencari wang sebelum menjumpai seutas rantai tangan.

Beliau berkata, rantai tangan bersama sebentuk cincin yang dipakai mangsa telah dilarikan.

Dalam pada itu, katanya, susulan kejadian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda telah membuat hebahan ke daerah berdekatan.

"Pada jam lebih kurang 4 petang Isnin, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Polis Tasek Gelugor, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang telah berjaya menangkap suspek di Jalan Lunas Kampung Tepi Sungai, Tasek Gelugor bersama seutas rantai tangan dengan ukuran panjang lebih kurang 21 sentimeter.

"Hasil soal siasat mendapati suspek yang berusia 36 tahun mengaku melakukan kes samun bersenjatakan pisau di daerah Kuala Muda pada Ahad bersangkut laporan polis Sungai Petani/36732/24," katanya.

Semakan mendapati suspek mempunyai 12 rekod lampau berkaitan jenayah dan 10 rekod berkaitan dadah.

Kes disiasat bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan.

Sebelum itu, ahli keluarga mangsa dikesan telah membuat satu hantaran di media sosial Facebook berhubung kejadian.

Laporan dalam hantaran berkenaan memaklumkan bahawa suspek meminta agar menyerahkan kunci rumah sebelum melarikan diri melalui pintu hadapan.

Mangsa bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.