Perlu lebih suara bantah cukai baru MBI - Ahmad Humaizi

Iklan
Ahmad Humaizi ketika ditemui dalam sidang akhbar pada Isnin.

IPOH - Badan Bertindak Bantah Cukai Ipoh mahu lebih banyak persatuan penduduk tampil menyuarakan bantahan terhadap kenaikan cukai taksiran oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) yang bakal dilaksanakan tahun hadapan.

Ketuanya, Ahmad Humaizi Din Mustafaha berkata, suara bantahan diperlukan agar pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit boleh melakukan semak dan imbang sebelum kadar baharu diluluskan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, daripada maklum balas diterima, kenaikan kadar cukai sembilan peratus itu tidak dipersetujui ramai kerana tinggi dan membebankan pemilik hartanah.

"Tempoh mengemukakan bantahan yang diberikan MBI adalah sehingga 22 November ini. Jadi dalam tempoh kurang lima hari ini saya minta persatuan penduduk, kawasan rukun tetangga (KRT) dan pemimpin-pemimpin masyarakat untuk tampil suarakan tidak setuju.

Iklan

"Bantahan terhadap kenaikan cukai adalah hak setiap pemilik hartanah dan termaktub dalam Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171)," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Isnin.

Bantahan tersebut boleh dibuat dengan menghantar surat rasmi secara dalam talian di emel penilaian@mbi.gov.my atau secara fizikal di Jabatan Penilaian dan Hartanah.

Iklan

Ahmad Humaizi berkata, berdasarkan rekod carian dibuat didapati, kenaikan sembilan peratus kadar baharu bagi kategori bangunan kediaman dan perniagaan itu adalah paling tinggi berbanding bandar raya lain di negara ini iaitu antara tiga hingga enam peratus sahaja.

Katanya, keadaan itu menunjukkan warga Ipoh perlu membayar cukai taksiran yang tinggi sedangkan pendapatan rata-rata penduduknya adalah rendah.

"Walaupun MBI memberi subsidi untuk mengurangkan impak kenaikan cukai taksiran, kita melihat subsidi yang diberikan tidak adil terhadap setiap hartanah.

"Ada yang dapat subsidi kurang 10 peratus, sedangkan rumah-rumah besar yang nilaiannya naik mendadak diberi subsidi begitu besar sehingga 70 peratus," katanya.

Pada Jumaat, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin memaklumkan, keputusan sama ada mengekal atau menurunkan kadar cukai baharu yang dikenakan MBI adalah bergantung kepada bantahan yang dibuat oleh warga Ipoh.