SUNGAI GOLOK - Polis Thailand mengingatkan orang ramai terutama rakyat Malaysia supaya tidak memandang enteng berhubung isu dadah di negara ini kerana memiliki dua biji pil kuda sudah dikira sebagai pengedar jika berjaya dicekup pihak berkuasa.
Ketua Polis Daerah Sungai Golok, Kolonel Polis Jadsadavit Inprapan berkata, walaupun undang-undang penyalahgunaan dadah di Thailand hampir sama dengan negara lain namun di sini ianya lebih tegas dalam mengekang aktiviti tidak bermoral itu.
"Di sini (Thailand) jika memiliki lebih daripada sebiji ia sudah dikira pengedar yang membawa maksud dadah tersebut digunakan untuk dijual bukan sekadar kegunaan sendiri," katanya semasa sidang akhbar di sini.
Menurut beliau, peniaga atau pengedar dadah berdepan hukuman penjara melebihi 10 tahun atau sepanjang hidup sekiranya ditangkap oleh pihak polis.
Ujarnya, hukuman itu bergantung kepada jumlah dadah yang dirampas.
Jadsadavit memberitahu, semakin banyak jumlah dadah yang dirampas, hukuman yang diterima sangat berat termasuk membabitkan tempoh pesalah dipenjarakan.
"Kebanyakan rakyat Malaysia yang ditahan di negara ini adalah kerana positif dadah bukan memiliki dadah.
"Hal ini kerana mereka takut memandangkan undang-undang membabitkan pengedaran bahan terlarang itu di Thailand agak ketat," katanya.
Menurut beliau, kesemua mereka yang ditahan bersama dadah lebih daripada sebiji akan direman dalam tempoh tiga bulan atau 84 hingga 90 hari.
Ujarnya, tempoh reman yang panjang membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan secara adil serta meneliti maklumat dan dalam masa yang sama memberi peluang kepada semua suspek mengumpul bukti jika mereka benar tidak bersalah.