PEMILIK Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim membidas pihak yang sering memberikan alasan bahawa kelab Harimau Selatan itu berjaya kerana mempunyai kewangan yang baik serta pemain import yang bagus.
Tunku Ismail berkata, pasukan pelapis JDT dalam pelbagai peringkat umur telah membuktikan kejayaan dengan menggunakan 100 peratus pemain tempatan dan tanpa pelaburan besar.
Baginda yang juga pemangku Sultan Johor turut berkongsi gambar pasukan JDT III yang telah memenangi Piala Presiden menewaskan Selangor FC baru-baru ini.
"Alasan JDT banyak duit, pemain import yang ramai atau bagus. JDT III ini semua pemain tempatan, juara Piala Presiden tiga kali berturut-turut.
"Apa pula alasan dan konspirasi? JDT II top of the table, JDT IV masuk final, JDT bawah 12 (tahun) menang di Singapura.
"Cukup-cukuplah dengan alasan, ubah mindset," kata baginda dalam Instastory miliknya.
Sebelum ini, Tunku Ismail dalam satu kenyataan di laman Facebook Johor Southern Tigers membidas pihak yang menyifatkan bola sepak Malaysia gagal susulan pelbagai isu melanda sukan itu.
Baginda berkata, bola sepak Malaysia tidak gagal sebaliknya diuruskan oleh individu yang tidak layak berada dalam industri bola sepak.
Baginda turut memberikan nasihat kepada pengurusan pasukan bola sepak di Malaysia supaya berbelanja dengan bijak untuk mengelakkan berdepan masalah tunggakan gaji.