GEORGE TOWN - Titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar penggunaan rokok elektronik atau vape diharamkan secara total adalah berita baik buat semua ibu bapa dan para guru.
Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), NV Subbarow berkata, pihaknya juga menyambut baik dengan saranan baginda Sultan Pahang itu.
"CAP dengan penuh gembira menyambut baik dan menyokong titah Tuanku Sultan yang menyarankan agar penggunaan rokok elektronik atau vape diharamkan secara total.
"Ini adalah berita baik buat kami (CAP) serta ribuan ibu bapa dan guru yang menunggu berita ini sejak sekian lama. Terima kasih Tuanku," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Tambah Subbarow, masalah rokok elektronik atau vape bukan sahaja berlaku di sesebuah negeri sahaja malah seluruh negara.
"Masalah vape atau rokok elektronik bukan sahaja berlaku di Pahang malah di seluruh negara.
"Oleh itu, CAP berharap Kementerian Kesihatan mengambil maklum dan mendengar titah Tuanku Sultan Pahang dengan mengharamkan vape dan rokok elektronik segera untuk menyelamatkan nyawa generasi akan datang," ujarnya lagi.
Sebelum ini, Al-Sultan Abdullah menyarankan agar penggunaan rokok elektronik atau vape diharamkan secara total.
Baginda bertitah, saranan itu dibuat susulan kebimbangan baginda terhadap penyalahgunaan dadah yang semakin meningkatkan di Pahang terutamanya dalam kalangan belia berdasarkan statistik oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
Titah baginda, antara punca utama golongan muda terjebak dalam ketagihan dadah secara langsung dan tidak langsung bermula dengan penggunaan vape.