KONTRAK bintang sensasi Liverpool, Mohamed Salah di Anfield bakal tamat pada musim panas ini sekali gus timbul pelbagai spekulasi mengenai masa depannya.
Tidak terkecuali pasukan-pasukan dari Liga Pro Saudi termasuk Al-Nassr yang berminat untuk mendapatkan pemain kelahiran Mesir itu.
Berdasarkan laporan media Sepanyol, El Nacional, Ronaldo akan menjadi faktor penting kepada Salah untuk menentukan sama ada dia akan memulakan karier baharu di Arab Saudi.
Malah, laporan itu yang turut mendapatkan sumber rapat dengan Al-Nassr memaklumkan Ronaldo akan bercakap sendiri dengan Salah untuk berkongsi matlamat jangka panjang kelab tersebut.
Ronaldo dilaporkan mahu Salah bermain di kelab itu sebagai satu cara untuk meningkatkan taraf kualiti Liga Pro Saudi.
Musim ini, pemain berusia 32 tahun itu berada dalam momentum terbaik bersama The Reds apabila merekodkan 10 gol dan 10 bantuan gol dalam 17 perlawanan semua pertandingan.
Walaupun tampil dengan persembahan cemerlang, Liverpool masih belum memuktamadkan kontrak membolehkan dia kekal di kelab itu musim depan.
Pengendali Liverpool, Arne Slot sudah tentu agak terdesak untuk mengekalkan Salah, namun faktor usia dan gaji mungkin menjadi penghalang.