KUALA LUMPUR - Pusat hiburan di Jalan Kuchai Lama, di sini, yang disyaki menawarkan khidmat gadis pelayan pelanggan (GRO) warga tempatan diserbu polis, pada Selasa.
Serbuan Op Noda KL Strike Force itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur yang diketuai Asisten Superintenden Khairul Fairoz Rodzuan.
Difahamkan, semasa operasi terdapat cubaan beberapa individu termasuk pekerja wanita yang cuba melarikan diri dengan bersembunyi di laluan rahsia.
Bagaimanapun, tindakan itu berjaya dikesan polis sebelum pemeriksaan dilakukan.
Sepanjang operasi, polis telah memeriksa dan menjalankan dokumentasi terhadap 103 individu berusia 23 hingga 53 tahun.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, serbuan kira-kira jam 3.30 pagi dibantu Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields, Jabatan Imigresen Malaysia dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
"Polis telah menahan 10 individu iaitu seorang wanita tempatan berperanan sebagai penjaga premis serta sembilan lelaki warga asing yang bekerja sebagai pelayan di pusat hiburan berkenaan.
"Semakan mendapati warga asing itu terdiri daripada lima Bangladesh, tiga Myanmar dan seorang Kemboja," katanya pada Selasa.
Beliau berkata, ujian air kencing dilakukan turut mendapati tiga lelaki tempatan positif dadah.
Tambahnya, polis turut merampas peralatan audio selain resit perniagaan.
"Kesemua tangkapan dibawa ke IPD Brickfields untuk disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan (AHWP) 1992 dan Akta Imigresen 1959/63," ujarnya.