PUTRAJAYA – Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Faizah Jamaludin menarik diri daripada mendengar rayuan Datuk Seri Najib Razak untuk mengembalikan semula saman RM1.9 juta terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas, atas dakwaan salah guna jawatan awam.
Faizah merupakan salah seorang daripada panel tiga hakim, berhasrat untuk menarik diri daripada mendengar rayuan itu, atas alasan suaminya pernah bertugas dalam syarikat juruaudit bebas, PricewaterhouseCoopers (PwC) Sdn Bhd.
Syarikat terbabit dilaporkan telah menyediakan skop dan perkhidmatan kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang mana Najib sebelum ini, diperintah membela diri atas empat kes menggunakan kedudukan untuk suapan hampir RM2.3 bilion.
Semasa prosiding, hakim itu memberitahu bahawa, suaminya baru bersara daripada syarikat terbabit, tahun lalu.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 3 Disember depan untuk pengurusan kes.
Semasa prosiding, peguam, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin yang mewakili bekas Ahli Parlimen Pekan ini mengemukakan permohonan lisan agar hakim berkenaan menarik diri daripada mendengar rayuan tersebut.
Beliau berkata, suami hakim berkenaan pernah berkhidmat dengan PwC iaitu syarikat yang terlibat dengan pemulihan aset dan pengurusan hutang 1MDB.
Sementara itu, peguam, Alan Adrian Gomez yang mewakili Tommy berkata, walaupun tiada kaitan antara isu pemulihan aset dengan kes saman tersebut, pihaknya tidak membantah permohonan itu demi keadilan.
Tiga panel hakim dipengerusikan Datuk Hashim Hamzah bersama Datuk Azmi Ariffin dan Faizah, sepatutnya mendengar rayuan Najib, 71, bagi keputusan Mahkamah Tinggi yang membatalkan samannya terhadap Tommy.
Faizah merupakan hakim kedua, menarik diri daripada mendengar rayuan bekas Perdana Menteri itu,
Pada 4 Oktober tahun lalu, Hakim Datuk Azizah Nawawi menarik diri daripada mendengar rayuan kes berkenaan.
Azizah yang mempengerusikan panel tiga hakim, menyatakan hasrat menarik diri daripada mendengar rayuan itu atas alasan suaminya pernah berkhidmat di bawah Tommy selain kes berkenaan melibatkan kepentingan awam.
Saman itu berhubung dakwaan menyalahgunakan kuasa dengan mendakwanya atas pertuduhan melibatkan syarikat strategik negara ini.
Dalam saman terbabit, Najib mendakwa, telah dituduh melakukan rasuah dalam skandal 1MDB, International Petroleum Investment Company (IPIC), salah guna kuasa di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan pengubahan wang haram di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).
Tommy merupakan Peguam Negara sejak 4 Jun 2018 hingga 28 Februari 2020.
Menerusi saman yang difailkan pada 22 Oktober 2021, Najib berkata, pertuduhan terhadapnya adalah sebahagian daripada langkah yang telah dirancang lebih awal oleh Tommy dan ia juga selaras dengan rancangan kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika itu.
Beliau memohon pengisytiharan bahawa, Tommy telah melakukan penyelewengan jawatan awam serta menuntut ganti rugi sebanyak RM1.9 juta.
Ia termasuk yuran rundingan untuk pasukan audit menyemak dokumentasi bagi penyediaan fakta bagi menangani pendakwaan terhadapnya.