Kera, babi hutan terpaksa ditembak mati kerana populasi tinggi

Iklan
Kerajaan akan melakukan tindakan penakaian atau tembak mati kera dan babi hutan yang dikesan mengganggu penduduk berikutan populasi serta kadar pembiakan haiwan itu amat tinggi.(Gambar hiasan) Foto 123rf

KUALA TERENGGANU - Kerajaan akan melakukan tindakan penakaian atau tembak mati kera dan babi hutan yang dikesan mengganggu penduduk berikutan populasi serta kadar pembiakan haiwan itu amat tinggi.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, kadar pembiakan yang cepat menyebabkan haiwan berkenaan berkeliaran di merata-rata tempat malah turut memasuki kawasan penempatan penduduk.

Iklan
Iklan
Razali

Menurutnya, tindakan bersesuaian turut diambil terhadap spesies hidupan liar lain yang menceroboh kawasan penempatan serta merosakkan harta benda dan tanaman penduduk.

"Kerajaan negeri bersama kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) juga menangani gangguan hidupan liar seperti kera, gajah dan harimau.

Iklan

"Tindakan penakaian sebagai langkah kawalan populasi akan dilaksanakan ke atas spesies kera dan babi hutan kerana populasi yang amat tinggi dan kadar pembiakan pantas.

"Perhilitan juga melakukan siasatan, pemantauan, tembak halau, memasang perangkap, atau melakukan operasi tangkap pindah sekiranya spesies hidupan liar itu tidak kembali ke habitat asal," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Mohd Zawawi Ismail (Bersatu-Telemong) mengenai keluhan rakyat yang terganggu dengan kehadiran hidupan liar yang memusnahkan kebun dan tanaman mereka.

Razali berkata, bagi menangani serangan gajah, pembinaan pagar elektrik gajah (SPEG) sejauh 89 kilometer (km) melalui Rancangan Malaysia ke 10 (RMK-10) telah dilaksanakan di tiga buah lokasi dengan kos kira-kira RM3.5 juta.

"Kita telah membina sejauh 29.5 km pagar elektrik di sepanjang Kampung Lawit sehingga ke Belukar Bukit di Hulu Terengganu; Kampung Pelong, Setiu (35 km) dan Kampung Payung sehingga ke Chalok Barat di Setiu (25 km).

"Kerajaan juga telah memperuntukkan RM500,000 setiap tahun bagi kerja-kerja pembersihan dan penyelenggaraan SPEG ini agar ia berfungsi dengan baik dan dapat membantu mengurangkan serangan gajah liar," ujarnya.

Selain itu, katanya, pasukan keselamatan atau renjer komuniti juga ditubuhkan antaranya di Kampung Basong, Hulu Terengganu dikenali sebagai Basong Rangers.

"Basong Rangers merupakan 'pilot' projek yang dibangunkan dengan kerjasama antara komuniti dengan Pejabat Daerah Hulu Terengganu, Jabatan Perhilitan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan lain-lain agensi.

"Ia bagi mengurangkan risiko berlakunya serangan gajah liar di kawasan tersebut,"jelas beliau.

Razali memberitahu, kerajaan negeri juga menyediakan sagu hati di bawah Tabung Bencana Pertanian kepada petani dan penternak yang terkesan.

"Kadar bantuan ditetapkan RM1,000 bagi setiap hektar dan had maksimum ialah dua hektar, pada 2023 sebanyak RM14, 760 diperuntukkan kepada 17 penerima dan sebanyak RM25,450 diperuntukkan kepada 20 penerima pada tahun sebelumnya iaitu pada 2022," ujarnya.