SHAH ALAM - Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) rancang meningkatkan margin rizab air dengan kapasiti tambahan sebanyak 2,730 juta liter sehari.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Adam Saffian Ghazali berkata, usaha itu dapat dicapai melalui pembangunan empat loji rawatan air baharu menjelang tahun 2030.
Menurut beliau, margin rizab air setakat September lalu berada pada paras 18.37 peratus meningkat daripada 15.34 peratus pada tahun lalu.
"Selain itu, usaha berterusan itu dilakukan untuk mengurangkan air tidak berhasil (NRW) kepada 25 peratus menjelang tahun sama yang akan meningkatkan kecekapan sistem bekalan air kami," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Dalam pada itu, katanya, pihaknya menyambut baik Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai kesediaan Malaysia untuk menyelaraskan dasar-dasar negara bagi memenuhi keperluan industri baharu termasuk perkembangan pesat pusat data.
Beliau memberitahu, Air Selangor terus komited untuk memastikan bekalan air yang stabil dan mampan kepada 9.62 juta pengguna tanpa mengabaikan keperluan sektor industri yang semakin meningkat.
"Air Selangor mengiktiraf peranan penting pusat data dalam memacu pertumbuhan ekonomi dan inovasi Malaysia.
"Kami terus bekerjasama dengan pihak berkepentingan, memberikan konsultasi pakar serta penyelesaian inovatif untuk menyokong operasi mereka, tanpa menjejaskan keperluan sektor lain," tambah beliau.