Pemuzik jalanan tak mengaku ajar adik ajaran salah

Iklan
Norasid ketika hadir ke Mahkamah Tinggi Syariah di Seremban.

SEREMBAN - Pemuzik jalanan yang juga pengikut ajaran sesat Millah Abraham didakwa lagi di Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada Selasa atas pertuduhan mengajar ajaran salah tahun lalu.

Tertuduh, Norasid Md Said, 50, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim, Zulfikri Yasoa selepas pertuduhan dibacakan.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati telah mengajar ajaran salah berlawanan dengan hukum syarak kepada adik perempuannya yang berusia 42 tahun.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 24 April 2023 di sebuah rumah beralamat di Taman PGBF Harmoni, Gemas, Tampin.

Iklan

Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan bawah Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 dan jika disabitkan boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Mahkamah menetapkan wang jaminan RM2,000 dan sebutan kes termasuk tiga pertuduhan sebelum ini masing-masing pada 21 Januari dan 17 Februari depan.

Iklan

Prosiding pada Selasa sepatutnya diteruskan dengan perbicaraan kes yang didakwa pada 6 Ogos lalu, namun Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Sembilan, Raja Mazelan Raja Deraman menyatakan saksi tidak bersedia.

Raja Mazelan berkata, tertuduh yang diwakili Peguam, Mohd Tajuddin Abd Razak didapati menghubungi dan menghantar pesanan melalui WhatsApp kepada saksi yang juga ahli keluarganya.

Mahkamah kemudiannya memberikan amaran kepada tertuduh supaya tidak mengganggu saksi kerana ia salah satu syarat yang terkandung dalam jaminan bagi pertuduhan kes sebelum ini.

Zulfikri turut memaklumkan, jaminan ke atas tertuduh boleh ditarik dan ditempatkan di penjara sekiranya mengulangi perbuatan mengganggu saksi pendakwaan.

Media 6 Ogos lalu melaporkan Norasid mengaku bersalah atas pertuduhan mengajar ajaran berlawanan dengan hukum syarak berkaitan ajaran Millah Abraham kepada anak lelakinya yang berusia 16 tahun, April tahun lalu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh telah mengajar ajaran salah kepada anak lelakinya yang berusia 16 tahun dengan menyatakan 'akan ada Nabi selepas Nabi Muhammad'.

Kesalahan itu dilakukan pada 1 Jun hingga 30 Jun 2023 di antara jam 8 malam hingga 11.59 malam di sebuah rumah di Felda Palong 3, Gemas di Tampin

Selain itu, tertuduh tidak mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah seksyen sama iaitu mengajar ajaran salah kepada seorang wanita berusia 46 tahun berkaitan ayat al-Quran yang berlawanan dengan hukum syarak.

Kesalahan itu dilakukan pada 24 April 2023, lebih kurang di antara jam 5 petang di sebuah rumah di Taman PGHB Harmoni, Gemas di Tampin

Pada 11 Julai lalu juga, tertuduh mengaku bersalah atas kesalahan sama dengan menyatakan kepada isterinya yang berusia 51 tahun iaitu 'selepas kewafatan Nabi Muhammad akan muncul Rasul baru'.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah Felda Palong 3, Gemas di Tampin antara 1 September hingga 30 September 2023.

Selain itu, tertuduh tidak mengaku bersalah atas dua pertuduhan di bawah seksyen sama iaitu mengajar ajaran salah yang berlawanan dengan hukum syarak kepada isterinya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi sama antara 1 hingga 30 Jun 2023 dan 1 hingga 31 Ogos 2023.