KUALA LUMPUR - Kebergantungan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) terhadap pendapatan dan prestasi Boustead Holdings Berhad (Boustead Holdings) menyebabkan pendedahan lembaga tersebut berlebihan kepada syarikat berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, kebimbangan itu perlu diambil tindakan segera oleh semua pihak berkepentingan terutamanya Kementerian Pertahanan Malaysia (Mindef) dan lembaga itu sendiri.
"Aliran tunai yang kritikal dan pebagai krisis kewangan yang melanda Boustead Holdings dan anak-anak syarikatnya meningkatkan risiko penyusutan nilai yang melibatkan sehingga 50 peratus daripada nilai tabung, iaitu hampir RM5 bilion dana tabung persaraan yang diuruskan oleh LTAT.
"Penyusutan nilai ini akan tidak hanya menyebabkan LTAT tidak berkemampuan untuk membayar dividen kepada pencarum namun, boleh menyebabkan LTAT kehilangan serta kerugian dana RM5 bilion tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Dapatan itu diperoleh menerusi laporan PAC berhubung LTAT di bawah Mindef yang dikeluarkan pada Selasa selepas isu tersebut dilaporkan di dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Penyata Kewangan Agensi Persekutuan Tahun 2022.
Menurut Mas Ermieyati, pihaknya mengadakan empat prosiding, iaitu masing-masing dua pada 20 Jun 2024 dan 7 Ogos tahun sama dengan memanggil beberapa individu antaranya Ketua Audit Negara, Menteri Pertahanan, Ketua Setiausaha (KSU) Mindef, dan Ketua Eksekutif LTAT.
Beliau menambah, pelan penstrukturan semula Boustead Holdings yang dilancarkan pada Julai 2023 sebagai inisiatif utama dalam Pelan Strategik LTAT 2023-2025 adalah satu pelan yang praktikal.
Pelan itu katanya, bukan sahaja mengurangkan kebergantungan LTAT kepada Boustead Holdings malah akan mempelbagaikan pelaburan lembaga berkenaan dalam aset-aset yang berkualiti lain.
"Pelan tersebut turut telah melalui pelbagai proses tapisan dan kelulusan di setiap peringkat di LTAT dan Mindef ketika itu serta melibatkan kajian yang menyeluruh oleh pihak lembaga tersebut,” katanya.