KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia memperkasakan siasatan dan penguatkuasaan terutama bagi kes tipu dalam talian berikutan indaan Undang-Undang Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) yang berkuatkuasa pada 20 Oktober lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya juga dapat mensasarkan pesalah ke arah pertuduhan yang lebih berfokus, sekaligus mengekang kegiatan keldai akaun.
"Apabila ada individu yang memberikan akaun perbankan peribadi secara mudah, mereka bakal berdepan risiko dikenakan hukuman atas kesalahan berkenaan," katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Ramli berkata, peruntukan undang-undang itu membolehkan pihaknya melipatgandakan usaha mengesan individu dan entiti perniagaan sah seperti syarikat perniagaan yang terbabit dalam kesalahan keldai akaun.
"Dengan adanya pindaan undang-undang ini, tindakan memberikan akaun peribadi digunakan pihak lain tidak akan berlaku dengan mudah," katanya.
Menurutnya, berdasarkan kes-kes yang dilaporkan sebelum ini pelbagai alasan diberikan oleh pemilik akaun perbankan apabila akaun mereka digunakan untuk aktiviti penipuan
"Namun melalui pindaan ini, orang ramai tidak akan sewenang-wenangnya membenarkan kad mereka digunakan oleh orang lain walaupun kononnya hanya menumpang guna sementara.
"Malah, usaha sedang dibuat untuk meletakkan liabiliti jenayah terhadap sesiapa yang merekrut individu bagi membuka akaun bank yang seterusnya digunakan sebagai 'mule accounts' (keldai akaun)," kataya.
Ramli berkata, jumlah keldai akaun ini adalah sangat besar dan ianya melebihi 200,000 akaun.
"Kini keldai akaun bukan sahaja dalam bentuk individu seperti sebelum ini tetapi bertopengkan entiti perniagaan sah seperti syarikat Sdn Bhd dan Enterprise.
"Dengan pertuduhan yang lebih berfokus terhadap kesalahan yang dilakukan maka pesalah keldai akaun tidak lagi hanya tertakluk kepada pertuduhan di bawah Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil, yang digunakan sebelum ini," katanya.
Sebelum ini, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran dilaporkan berkata, kuasa itu diberikan kepada PDRM susulan pindaan dilakukan terhadap Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Kanun Prosedur Jenayah (Akta 593) yang mula berkuat kuasa 20 Oktober lalu.
Pindaan itu membolehkan polis untuk tidak hanya menyita, tetapi mengekang harta tersebut dibuat urus niaga lain dengan tujuan untuk menghalang duit mangsa scam dikeluarkan melalui akaun keldai.
Ia seterusnya akan melengkapi peruntukan sedia ada iaitu Seksyen 435 Akta 593 berkenaan kuasa polis untuk menyita harta yang disyaki dicuri termasuk penipuan yang menjurus kepada harta fizikal.