DENGKIL - Taktik lapuk menyeludup rokok melalui Pelabuhan Barat, Klang dengan mengisytihar sebagai produk makanan dan minuman dibongkar baru-baru ini.
Pemeriksaan pada jam 11 pagi, 12 November lepas dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Operasi Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Bahagian Penguatkuasaan Ibu Pejabat Putrajaya ke atas enam kontena menemui 8,390,000 batang rokok dengan nilai RM6.38 juta termasuk duti dan cukai.
Penolong Ketua Pengarah Kastam, Raizam Setapa @ Mustapha berkata, siasatan mendapati rokok putih ini dibawa masuk dari sebuah negara di Asia Selatan untuk pasaran tempatan.
"Modus operandi sindiket ialah menggunakan dokumen yang diisytihar sebagai pelbagai produk.
"Sindiket telah meletakkan produk snek makanan, minuman botol serta guni yang mengandungi bijirin di pintu hadapan kontena, namun di belakangnya terdapat kotak-kotak rokok tidak bercukai," katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Kastam Dengkil, di sini pada Selasa.
Raizam berkata, pihaknya telah menahan seorang ejen perkapalan warga tempatan berusia lingkungan 50-an untuk membantu siasatan.
Tambahnya, JKDM percaya rokok jenama baharu ini akan diedar termasuklah di premis-premis runcit.
"Pengimportan rokok dan tembakau tertakluk kepada permit import yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Kastam sebagaimana yang digariskan di Butiran 66 Bahagian 1 Jadual Ketiga Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023," ujarnya.
Tegasnya, kes disiasat di bawah Peraturan-Peraturan Zon Bebas 30(1) Akta Zon Bebas 1990 serta Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 dan orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan yang merugikan negara.
"Sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan boleh disalurkan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat kastam terdekat dan setiap identiti pemberi maklumat adalah dirahsiakan," ujarnya.