KUALA LUMPUR -"Ya ALLAH, anak aku, itu ungkapan terpacul dari mulut Mohd El Khuwailid Rahim tatkala melihat anaknya dalam keadaan terkulai selepas motosikal dinaiki mereka sekeluarga dirempuh sebuah kereta di Jalan Puchong menghala Bukit Jalil, Jumaat lalu.
Mohd El khuwailid yang merupakan kerani di sebuah bank ketika mengimbas insiden itu berkata, kejadian berlaku semasa dia bersama isteri, Hidayatul Izzah Ghazali dan anaknya, Nur Naura Nathifa dalam perjalanan pulang ke rumah setelah makan di pusat beli belah berdekatan.
"Kejadian berlaku dengan sekelip mata, saya sendiri tidak menyedari apa berlaku sebab kereta yang melanggar kami itu dari arah belakang.
"Bila dilanggar, motosikal dinaiki terbabas ke sebelah kiri jalan mengakibatkan kami tiga beranak terjatuh, saya tak fikir tentang diri sendiri masa itu, saya terus mendapatkan anak dan isteri," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Katanya, dia kemudian segera memangku anaknya yang dalam keadaan tidak bermaya.
"ALLAH sahaja yang tahu bagaimana perasaan saya ketika itu, saya tergamam dengan apa yang berlaku, saya cuba kuatkan diri dan hanya mampu berdoa agar keadaannya ketika itu tidak apa-apa.
"Bayangkan tidak sampai beberapa detik saya keluar makan bersama dia dan isteri, bergurau senda dengannya, namun saya lihat dia dalam keadaan yang tidak lagi bermaya," katanya.
Menurutnya, kejadian itu memberikan kesan besar terhadap dirinya dan isteri kerana kehilangan anak tunggal mereka.
"Saya hanya tengok sekali sahaja rakaman video kemalangan kami sekeluarga itu, tak sanggup nak tengok berulang kali.
"Kami kehilangan satu-satunya permata yang kami sayang dan cintai, namun kini semua itu hanya tinggal kenangan buat saya dan isteri," katanya.
Jelas Mohd El khuwailid, anak tunggalnya itu seorang kanak-kanak yang ceria dan mendengar kata dia dan isteri.
"Naura seorang yang ceria dan menjadi penghibur hati saya dan isteri, begitu juga dia dengan rakan-rakannya, memang sangat disenangi di sekolah.
"Naura memang tak gemar bergambar, kalau nak bergambar kena pujuk dahulu. Namun, malam kami bertiga keluar bersama, dia minta saya ambil gambarnya, tak sangka itu permintaannya yang terakhir," katanya.
Dalam pada itu, pemandu kenderaan yang terlibat melanggar motosikal dinaiki tiga beranak itu dihadapkan ke Mahkamah Trafik Kuala Lumpur di sini pada Selasa.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, lelaki berumur 31 tahun itu dituduh melanggar sebuah motosikal di Lebuh Raya Bukit Jalil sehingga menyebabkan kematian seorang kanak-kanak perempuan berumur tujuh tahun.
"Individu dituduh bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu.
"Lesen milik lelaki itu diarah supaya diserah kepada mahkamah sehingga pelupusan kes sebelum dia kemudiannya dibenarkan untuk diikat jamin sebanyak RM12,000," katanya.
Sinar Harian pada Jumaat melaporkan seorang kanak-kanak perempuan meninggal dunia manakala ibu bapanya cedera selepas motosikal dinaiki dirempuh kereta di Bukit Jalil di sini dalam kemalangan kira-kira jam 9.50 malam.
Pemandu kereta terlibat kemudiannya telah tampil ke Balai Trafik Kuala Lumpur, pada Isnin sebelum ditahan untuk siasatan lanjut.