MBK lancar Pelan Antirasuah

Iklan
Mohd Nizam (depan kanan) mewakili Razihan menyempurnakan gimik perasmian Majlis Sambutan Hari Integriti 2024 Peringkat MBK dan Pelancaran Pelan Antirasuah di Dewan Kompleks MBK di Kuantan pada Selasa.

KUANTAN - Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) melancarkan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) dalam usaha membanteras gejala rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan dan pecah amanah dalam kalangan kakitangan.

Datuk Bandar Kuantan, Datuk Razihan Adzharuddin berkata, OACP merupakan satu inisiatif di bawah strategi memperkukuhkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, melalui pelan antirasuah itu, MBK menyasarkan misi untuk memantapkan prinsip tadbir urus baik, integriti dan antirasuah dengan meningkatkan kecekapan serta ketelusan dalam penyampaian perkhidmatannya.

"Pelan ini merangkumi tempoh lima tahun bermula 2024 hingga 2028 dengan tumpuan kepada empat bidang keutamaan iaitu, pengurusan projek dan pembangunan; pelesenan dan penguatkuasaan; perolehan dan kewangan serta tadbir urus baik," katanya.

Iklan
MBK menyasarkan misi untuk memantapkan prinsip tadbir urus baik, integriti dan antirasuah dengan meningkatkan kecekapan serta ketelusan dalam penyampaian perkhidmatannya.

Beliau berkata demikian melalui teks ucapan perasmian Majlis Sambutan Hari Integriti 2024 Peringkat MBK yang dibawakan wakil rasminya, yang juga Setiausaha MBK, Mohd Nizam Mahayuddin.

Hadir sama pada majlis itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Pengarah SPRM Pahang, Hairuzam Mohmad Amin@Hamim.

Iklan

Razihan berkata, MBK juga telah berjaya memperoleh pengiktirafan Sistem Pengurusan Antirasuah (SPAR) MS ISO 37001:2016 daripada Sirim Qas Internasional Sdn Bhd pada 1 November lalu.

Katanya, sistem itu menjadi satu instrumen penting dalam membantu MBK mendepani risiko rasuah dengan mengesan, mencegah, mengendalikan dan menambah baik pengurusan antirasuah secara berkesan.

"Berdasarkan inspirasi daripada SPAR ini, pihak majlis telah membangunkan Polisi Antirasuah MBK sebagai garis panduan komprehensif memerangi perlakuan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.

"Polisi itu juga menjadi rujukan utama dalam melapor dan mencegah sebarang perlakuan rasuah bagi memastikan. pengurusan dan pentadbiran PBT ini dijalankan dengan cekap dan telus," ujarnya.