Bekas pengasuh taska dera bayi dijel enam bulan, denda RM10,000

Iklan
Bekas pengasuh taska dera bayi dijel enam bulan, denda RM10,000.

SEREMBAN - Seorang bekas pengasuh sebuah taska dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas pertuduhan mendera anak asuhannya yang berusia tujuh bulan, empat tahun lalu.

Hakim, Datin Surita Budin menjatuhkan hukuman terbabit terhadap Saidatul Syafinaz Saadan, 27, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan.

Iklan
Iklan

Beliau turut memerintahkan hukuman penjara tambahan 10 bulan sekiranya tertuduh gagal menjelaskan denda berkenaan.

Selain itu, ibu kepada seorang anak itu dikehendaki menjalani khidmat masyarakat selama 240 jam dalam tempoh 12 bulan dan dikenakan bon berkelakukan baik dengan cagaran RM2,000 dengan seorang penjamin di bawah Seksyen 31(2) Akta Kanak-Kanak 2001.

Iklan

Sekiranya tertuduh gagal membayar bon tersebut, boleh dihukum penjara dua bulan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati melakukan kesalahan mendera sehingga mendatangkan kecederaan fizikal ke atas seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh bulan ketika kejadian.

Iklan

Kesalahan berkenaan dilakukan pada 24 Ogos 2020 jam antara 7 pagi hingga 6.30 petang di sebuah taska di Garden Avenue Seremban 2, Seremban.

Berikutan itu tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.

Peguam, Mohamad Kamaruzzaman dalam rayuannya berkata, ini merupakan kesalahan pertama tertuduh dan berlaku tanpa disengajakan.

Malah jelasnya, tempoh reman lima hari yang dikenakan terhadap tertuduh sebelum ini merupakan pengajaran berguna kepadanya dan satu pengalaman yang tidak boleh dilupakan.

Tambahnya, tertuduh mempunyai seorang anak berusia 15 bulan dan disahkan mempunyai sakit jantung manakala ayahnya mengalami depresi.

Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni berkata, tertuduh adalah pengasuh dan seharusnya menjaga mangsa, bukannya mendatangkan kecederaan kepadanya.

"Ia mengakibatkan mangsa alami pendarahan otak dan badan sebelah kiri lemah. Sehubungan itu mohon hukuman setimpal yang boleh memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat secara umumnya," katanya.