KOTA KINABALU - Datuk Seri Bung Moktar menegaskan bahawa kes mahkamah yang dihadapinya tidak menganggu kedudukan beliau untuk menjalankan tugas sebagai Ketua UMNO Sabah.
Jelasnya, kes mahkamah yang dihadapinya itu bukan baharu bermula malah telah berjalan sejak beberapa tahun lalu.
"Saya tidak terpanggil untuk menjawab komen dari badan bukan kerajaan (NGO) yang langsung tidak berwibawa dan berat sebelah.
"Soal dalam UMNO biarlah UMNO yang tentukannya, kes saya bukan kes baharu, ia telah berjalan bertahun tahun dan kes mahkamah ini tidak menganggu kedudukan saya untuk menjalankan tugas selaku Ketua UMNO sabah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas saranan Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar supaya berundur daripada jawatannya memimpin UMNO Sabah susulan keputusan mahkamah pada Isnin.
Sehubungan itu, Bung Moktar yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah meminta penyokong UMNO dan BN supaya bertenang berhadapan dengan situasi tersebut.
"Jangan terganggu dengan keadaan yang berlaku, sentiasa fokus kepada memperkasakan parti.
"Insya-ALLAH yang benar pasti akan mengatasi perkara yang tidak benar," katanya.
Bung Moktar dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette A Samad diperintahkan membela diri oleh Mahkamah Rayuan atas tiga pertuduhan rasuah RM2.8 juta, berhubung pelaburan RM150 juta Felcra dalam unit amanah Public Mutual Berhad.
Susulan keputusan mahkamah itu, Zulkarnain melalui pertubuhannya merasakan sudah tiba masanya Bung Moktar memberi tumpuan sepenuhnya kepada perbicaraan kes mahkamah yang dihadapinya.