AKTOR dan pengarah, Nadhir Nasar meluahkan rasa kesal terhadap dakwaan isu buli yang berlaku antara pelakon senior dan junior di set penggambaran.
Ujar pemilik nama penuh Ahmad Nadhir Ahmad Nasar, 27, disebabkan kenyataan itu, pelakon senior mempunyai pandangan stereotaip terhadap pelakon baharu.
"Sebab kau, pelakon senior ada stereotaip terhadap pelakon baru. Hebat.
"Senang cerita, kalau kau tak ada masalah, tak ada orang nak buat masalah dekat kau. Tidak perlu semua benda perlu cerita. Lihat diri semula," luahnya menerusi platform X.
Hero Remaja 2020 itu juga sempat menitipkan pesanan ringkas mengenai cara apabila berdepan dengan orang yang lebih berusia.
"Jalan depan orang lama tunduk. Dimarah orang lama, duduk. Menegakkan benang yang basah, itu buruk," ujarnya.
Terdahulu, seorang pelakon mendedahkan gejala buli antara pelakon baru dan lama masih berlaku sehingga hari ini.
Bagaimanapun ramai aktor dan aktres termasuk pengarah, Ahmad Idham menempelak kenyataan yang dibuat pelakon muda terbabit.
Rata-rata berpendapat pelakon itu tidak memahami cara lakonan dan menganggap dia dibuli pelakon lama.