IPOH - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenaan menerima bayaran zakat perniagaan daripada 10 syarikat korporat berjumlah lebih RM13.7 juta kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) di Istana Perak, Changkat Persekutuan, Kuala Lumpur pada Selasa.
Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Syamsul Hazeman Md Salleh berkata, penyerahan didahului Bank Islam Malaysia Berhad yang diwakili Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Azizan Abd Aziz dengan zakat berjumlah RM416,000.
Menurutnya, penyerahan kemudian oleh Kumpulan Bank Pembangunan Malaysia Berhad diwakili Ahli Jawatankuasa Syariah BPMB, Profesor Dr Salina Kassim berjumlah RM580,310 diikuti Bank Rakyat oleh Ahli Lembaga Pengarahnya, Datuk Ahmad Burhanuddin Datuk Seri Adnan sebanyak RM1.02 juta.
"Turut menunaikan zakat perniagaan ialah Bank Muamalat Malaysia Berhad yang diwakili Ketua Operasi Perbankan, Muhamad Radzuan Ab Rahman dengan jumlah RM479,802.
"Juga Etiqa General Takaful Berhad & Etiqa Family Takaful Berhad diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Shahrul Azuan Mohamed berjumlah RM1.4 juta," katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.
Syamsul Hazeman berkata, syarikat lain ialah Maybank Islamic Berhad diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Muzaffar Hisham sebanyak RM857,129 serta Plus Malaysia Berhad diwakili oleh Pengarah Urusan, Datuk Nik Airina Nik Jaffar dengan zakat berjumlah RM2 juta.
Katanya, selain itu, Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad dan Syarikat Takaful Malaysia Am Berhad yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Nor Azman Zainal turut menyampaikan zakat perniagaan berjumlah RM500,000.
"Takaful Ikhlas General Berhad diwakili oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Rudy Rodzila Che Lamin sebanyak RM122,985 manakala Tenaga Nasional Berhad (TNB) diwakili Pengarah Urusan TNB Power Generation Sdn Bhd, Datuk Ir Muhamad Nazri Pazil dengan jumlah RM6.32 juta," katanya.
Majlis penyerahan turut disaksikan Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin dan Orang Kaya Kaya Seri Adika Raja Shahbandar Muda, Datuk Seri Mohamad Othman Zainal Azim.