'Dua wanita warga Bangladesh diselamatkan jadi pekerja seks'

Iklan
Jabatan Imigresen Malaysia

KUALA LUMPUR - Dua wanita warga Bangladesh yang diperdaya tawaran kerja sebelum dieksploitasi sebagai pekerja seks diselamatkan di sebuah premis di sini pada Isnin.

Operasi itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Putrajaya hasil maklumat dan risikan.

Iklan
Iklan

JIM dalam kenyataan berkata, mangsa berusia 30 dan 34 tahun yang dipercayai telah dieksploitasi sejak sebulan lepas diselamatkan menerusi operasi bermula pada jam 2.38 petang,

Katanya, serbuan itu telah menahan empat warga Bangladesh berusia 30 hingga 50 tahun.

Iklan

"Siasatan mendapati seorang suspek dipercayai dalang, dua ahli sindiket manakala seorang lagi adalah pelanggan.

"Modus operandi sindiket adalah dengan membawa masuk wanita warga asing terutamanya daripada Bangladesh dan menjanjikan pekerjaan di Malaysia dengan bayaran gaji sebanyak RM2,000 sebulan," katanya pada Selasa.

Iklan

Tambah kenyataan itu, wanita warga asing yang baru tiba akan dibawa ke lokasi yang dijadikan tempat tinggal dan kemudian akan dibawa ke lokasi lain untuk menjalankan aktiviti seks.

Katanya, mangsa dipaksa untuk bekerja dari pagi hingga ke tengah malam dengan melayani pelanggan warga asing yang diuruskan oleh sindiket.

"Mangsa tidak menerima sebarang bayaran dan hanya disediakan makan dan minum sahaja," ujarnya.

Jelas kenyataan itu lagi, JIM akan meneruskan operasi penguatkuasaan dan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (AKTA 670).

"Orang ramai dialu-alukan untuk menyalurkan maklumat dalam membantu membanteras jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan migran," ujarnya.