RIO DE JANEIRO - Lawatan rasmi sulung Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Brazil telah membuka peluang ekonomi baharu bagi Malaysia, terutamanya dalam industri semikonduktor.
Putrajaya dan Brasilia telah menyatakan komitmen untuk bekerjasama dalam membangunkan ekosistem semikonduktor yang kukuh di negara Amerika Latin itu, menandakan lembaran baharu dalam hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
Brazil teruja untuk bekerjasama dengan Malaysia berikutan reputasi Malaysia sebagai hab semikonduktor terkenal dunia dan ekosistemnya yang komprehensif, serta kedudukan negara sebagai pengeksport semikonduktor keenam terbesar di dunia.
"Walaupun kami dari negara yang jauh, potensinya amat besar. Brazil adalah salah satu tonggak ekonomi Amerika Latin, dan ia menawarkan peluang yang sangat besar (untuk syarikat Malaysia) semasa pembinaan semula ekonomi negara ini,” kata Anwar semasa mesyuarat meja bulat dengan wakil industri semikonduktor dan pemimpin perniagaan di sini.
Perdana Menteri berada di Rio de Janeiro dari 16-19 November sempena lawatan rasmi atas jemputan Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva dan sebagai negara tetamu di forum antara kerajaan Sidang Kemuncak Kumpulan 20 (G20).
Bandar tepian pantai itu terkenal dengan pantai ikoniknya seperti Copacabana dan Ipanema.
Walaupun industri semikonduktor Brazil agak kecil berbanding Malaysia, namun terdapat sinergi yang mencukupi antara kedua-dua negara.
Malaysia mempunyai ekosistem semikonduktor yang komprehensif, dengan infrastruktur pemasangan dan ujian (OSAT) semikonduktor yang padu, disokong oleh keupayaan pembuatan canggih dan tenaga kerja mahir, manakala Brazil mempunyai kelebihan daya saing dalam reka bentuk litar bersepadu (IC).
Ketika ini, Malaysia merupakan pengeksport semikonduktor keenam terbesar di dunia, dengan eksport melebihi US$85 bilion (RM380 bilion), manakala nilai eksport semikonduktor Brazil hanya berjumlah US$1.2 bilion (sehingga 2022), yang bermakna terdapat banyak potensi pertumbuhan.
Justeru, dengan keupayaan pembuatan canggih Malaysia dan pengembangan teknologi Brazil, perkongsian ini mampu menyokong rantaian bekalan global dan meningkatkan inovasi.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan Malaysia berkata, potensi kerjasama dalam industri semikonduktor adalah salah satu daripada beberapa topik yang dibincangkan semasa pertemuan beliau dengan Lula pada Ahad.
Ketika permintaan semikonduktor dunia terus meningkat, kerjasama ini muncul pada masa yang sesuai, sebagai persediaan masa depan apabila kedua-dua negara memainkan peranan penting dalam industri itu.
Menerusi satu kenyataan bersama, kedua-dua pemimpin menyatakan sokongan mereka terhadap usaha membangunkan kerjasama dua hala dalam sektor semikonduktor melalui peningkatan dialog antara kerajaan, sektor swasta dan institusi penyelidikan dan pembangunan serta inovasi kedua-dua negara.
Mesyuarat dua hala itu diakhiri dengan pemeteraian dua memorandum persefahaman yang melibatkan industri semikonduktor Malaysia dan Brazil.
Sebagai sebahagian daripada penyertaannya dalam G20, Anwar menyampaikan pandangan Malaysia mengenai usaha"Menangani Kebuluran dan Kemiskinan” dan"Reformasi Institusi Tadbir Urus Global”.
Pada sesi"Reformasi Institusi Tadbir Urus Global", Perdana Menteri menggesa pembaharuan dan perwakilan yang lebih ramai bagi kuasa veto Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) yang dipegang oleh Lima Anggota Tetap (P5).
Beliau berkata, keadaan semasa adalah 'amat tidak adil' dan menegaskan bahawa UNSC perlu lebih inklusif, menekankan keperluan kepada perwakilan dari Amerika Latin dan Afrika.
Lima anggota tetap UNSC, juga dikenali sebagai Big Five, ialah China, Perancis, Rusia, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat.
Gesaan Anwar dilihat sejajar dengan Deklarasi Pemimpin G20 Rio de Janeiro, yang menggariskan keperluan untuk pembaharuan transformatif UNSC.
Deklarasi itu juga menekankan keperluan untuk komposisi UNSC diperbesarkan yang akan menambah baik aspek perwakilan bagi wilayah dan kelompok yang kurang diwakili dan tidak diwakili seperti Afrika, Asia Pasifik serta Amerika Latin dan Caribbean.
Malaysia turut menyertai Global Alliance Against Hunger and Poverty, satu inisiatif yang dipelopori oleh Kepimpinan G20 Brazil, untuk memerangi kebuluran dan membasmi kemiskinan.
Anwar menegaskan komitmen Malaysia untuk mencapai Agenda Pembangunan Mampan 2030 dalam memerangi kebuluran dan membasmi kemiskinan serta memastikan tiada sesiapa yang tertinggal.
Pakatan ini, yang bermula dengan 148 ahli pengasas, termasuk 82 negara, Kesatuan Afrika, Kesatuan Eropah, 24 organisasi antarabangsa, sembilan institusi kewangan antarabangsa serta 31 organisasi filantropi dan bukan kerajaan.
Anwar juga mengadakan pertemuan dengan pemimpin lain termasuk Presiden Perancis Emmanuel Macron, Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa, Perdana Menteri UK Keir Starmer dan Perdana Menteri Vietnam Phạm Minh Chính di luar Sidang Kemuncak G20.
Beliau turut menyertai acara untuk meraikan unit penyimpanan, pengeluaran dan pemunggahan terapung (FPSO) Yinson Holdings Bhd, Maria Quitéria, yang mencapai pengeluaran minyak pertamanya pada 15 Oktober 2024.
Beliau juga bertemu diaspora Malaysia di Brazil.
Perdana Menteri diiringi delegasi Malaysia, termasuk Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz.
Pada 2023, Brazil, negara terbesar di Amerika Selatan, merupakan rakan dagang ke-20 terbesar Malaysia, destinasi eksport ke-29 terbesar dan sumber import ke-17 terbesar.
Antara negara Amerika Latin dan Caribbean, Brazil merupakan rakan dagang kedua terbesar Malaysia, destinasi eksport kedua terbesar dan sumber import terbesar.
Malaysia dan Brazil turut meraikan ulang tahun ke-65 penubuhan hubungan diplomatik pada 1959.
Kedua-dua negara berminat untuk sama-sama meneroka inisiatif semasa Malaysia mempengerusikan ASEAN tahun depan, yang serentak dengan Brazil sebagai Pengerusi BRICS dan turut menjadi tuan rumah Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-30 (COP 30).
Peranan ini akan membantu mengukuhkan hubungan persahabatan dan kerjasama antara kedua-dua negara. - Bernama