SERAMAI 12 peserta yang dipasangkan secara duo berentap mengharungi cabaran dalam 'Maskulin Who’s Your Bro', rancangan realiti terbaharu hasil kerjasama Astro dan Nu Ideaktiv Sdn Bhd.
Pengurus Saluran Astro Ria, Idlan Zahari berkata, program ini menawarkan perspektif baharu dalam genre realiti TV dengan naratif yang universal tentang keberanian, kepimpinan, dan kekuatan mental.
Menurutnya, rancangan 10 episod yang menawarkan hadiah utama RM30,000 berlatar belakangkan lima lokasi menarik di seluruh negara yang menjanjikan pengalaman unik dan mendebarkan.
"'Maskulin Who’s Your Bro' membawa penonton melangkaui batas fizikal bagaimana 12 peserta mengharungi cabaran yang menguji ketahanan dan persahabatan sejati mereka,” katanya pada sidang akhbar pelancaran rancangan 'Maskulin Who’s Your Bro' di Astro, Bukit Jalil di sini pada Selasa.
Jelasnya, misi rancangan itu adalah untuk menyampaikan mesej di sebalik cabaran fizikal bahawa kekuatan maskuliniti hasil kerjasama berpasukan dan keberanian untuk mengatasi halangan hidup.
Sementara itu, Ketua Bahagian New Gen Dan Men & Hobbies Nu Ideaktiv, Fiezreen Ahmad berkata, rancangan 'Maskulin Who’s Your Bro' sebenarnya adalah sebuah kisah perjuangan dengan setiap cabaran dilalui menguji kesabaran serta bukti sokongan seorang rakan menjanjikan hasil yang lebih baik.
Tambahnya, sebagai pelengkap kepada program TV, 'Maskulin Who’s Your Bro' juga mempersembahkan kandungan digital eksklusif yang memperluaskan pengalaman 'campaign audiens'.
"Salah satu elemen utama ialah ‘Who’s Your Bro Digital Special’, yang ditayangkan di platform digital Maskulin seperti Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube.
"Kandungan ini memaparkan sisi santai peserta di luar arena pertandingan, termasuk aktiviti harian mereka, personaliti unik, dan emosi yang jarang dilihat,” ujarnya,
'Maskulin Who’s Your Bro' turut disokong oleh Media Hiburan, Gempak dan Remaja sebagai rakan digital. Manakala program Borak seeNI akan bersama-sama untuk memberikan maklumat dan info terkini mengenai rancangan itu sebagai rakan media rasmi.
'Maskulin Who’s Your Bro' akan menemui penonton di saluran Astro Ria bermula 29 November 2024, setiap Jumaat jam 9 malam.