Tune Protect jalin kerjasama dengan syarikat teknologi insurans di Hong Kong

Iklan
Tune Protect (kecil), Kim Lian

SHAH ALAM - Tune Protect Group Berhad (Tune Protect) memperluaskan perniagaannya ke peringkat global menerusi kerjasama strategik dengan syarikat teknologi insurans antarabangsa iaitu bolttech Insurance (bolttech) di Hong Kong, China.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tune Protect, How Kim Lian berkata, kedua-dua syarikat bekerjasama dalam menawarkan Insurans Perjalanan AirAsia buat pelancong Hong Kong yang menggunakan perkhidmatan penerbangan tersebut.

Iklan
Iklan

Menurutnya, inisiatif dibuat selaras dengan komitmen Tune Protect iaitu menyediakan perlindungan perjalanan komprehensif dan berpatutan memenuhi keperluan pelancong yang semakin meningkat di pasaran.

"Melalui kerjasama strategik dengan bolttech, kami akan berusaha untuk terus berinovasi dan menyediakan penyelesaian insurans perjalanan yang mudah bagi memenuhi pelbagai keperluan pelanggan.

Iklan

"Dalam dua tahun akan datang, kami teruja untuk memanfaatkan kepakaran kami dengan capaian pasaran tempatan bolttech untuk memberikan nilai tambah yang tiada tandingan kepada pelanggan," katanya dalam kenyataan bersama pada Selasa.

Kim Lian memberitahu, dengan rangkaian hampir 50 rakan kongsi insurans di seluruh dunia, pihaknya berada di kedudukan terbaik untuk menarik kerjasama serantau yang baharu.

Iklan

Tambahnya, ia sekali gus bakal membina kedudukan Tune Protect sebagai rakan kongsi utama insurans digital yang mampu menawarkan teknologi dan penyelesaian.

"Untuk mempertingkatkan penawaran insurans, kami akan terus bekerjasama rapat dengan rakan kongsi bagi menyediakan perlindungan relevan sepanjang perjalanan pelanggan.

"Kami merancang untuk memperkenalkan penawaran serupa di pasaran utama yang lain di Asia Pasifik bagi mengukuhkan komitmen dalam menyediakan perlindungan menyeluruh," ujarnya.

Sementara itu, Pengurus Besar Serantau bolttech untuk Hong Kong dan Taiwan, Alister Musgrave memaklumkan, pihaknya gembira dapat menyediakan perlindungan yang mudah kepada pelancong di Hong Kong melalui Insurans Perjalanan AirAsia.

"Kerjasama dengan Tune Protect menunjukkan komitmen bolttech dalam menambah baik tawaran rakan kongsi dan pilihan, kemudahan serta pengalaman terbaik buat pelanggan," jelasnya lagi.