Negeri Sembilan tawar ansuran bayaran premium Kem Syed Sirajuddin

Iklan
Rafizi (kiri) pada Sesi Libat Urus RMK13 bersama Kerajaan Negeri Sembilan pada Selasa. Foto Bernama

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan bersedia menawarkan opsyen kepada kerajaan Persekutuan bagi melunaskan bayaran premium Pemberimilikan Tanah Kerajaan Secara Hakmilik Tetap Di Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Negeri Sembilan secara ansuran.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kerajaan negeri berhadapan isu bersama Kementerian Pertahanan berhubung bayaran tanah seluas 6,653 hektar itu untuk Pusat Latihan Gabungan Pasukan Tempur di kem berkenaan berjumlah RM2.16 bilion sejak 2014.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, selepas perbincangan pada Jun 2022, kedua-dua pihak mencapai persetujuan mengeluarkan kawasan Military Firing Ground J berkeluasan 2,737.55 hektar yang digunakan sebelum merdeka dan mengurangkan premium yang perlu dibayar oleh kerajaan Persekutuan kepada RM1.27 bilion sahaja.

"Pendekatan ini bukan sahaja dapat meringankan komitmen kewangan kerajaan Persekutuan dalam tempoh tertentu tetapi juga memastikan bahawa kedua-dua pihak dapat terus memberi tumpuan kepada projek strategik lain demi kepentingan rakyat," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian semasa berucap pada program sesi libat urus Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) kerajaan Negeri Sembilan yang dihadiri Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, barisan Exco Kerajaan negeri serta ketua-ketua jabatan di sebuah hotel di sini pada Selasa.

Aminuddin berkata, kerjasama erat antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan dapat memastikan penggunaan tanah yang berkesan dan memaksimumkan manfaat kepada rakyat sejajar kehendak kepentingan strategik negara serta keperluan keselamatan pertahanan.

Iklan

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Port Dickson itu turut berharap supaya kerajaan dapat meluluskan Projek Lebuhraya Madani (Seremban-Jempol) bagi menangani masalah kesesakan di kawasan itu yang kian meruncing termasuk Jalan Seremban-Kuala Pilah.

"Pada tahun lepas, Kementerian Kerja Raya (KKR) melaksanakan Kajian Laluan Alternatif Jalan Seremban-Kuala Pilah (FT051) yang melibatkan koridor kajian di Kuala Pilah dan kawasan sekitarnya merangkumi Seremban dan Jempol. Kajian ini dimulakan pada Julai 2022 dan siap sepenuhnya Julai 2023.

"Lanjutan itu, KKR mengangkat permohonan Projek Fizikal Cadangan Jalan Kuala Pilah Bypass (Tanjung Ipoh Ke Kampung Gentam Tengah, Kuala Pilah) dalam Rolling Plan 5 (RP5), RMK-12. Bagaimanapun, cadangan Projek Laluan Alternatif Jalan Seremban-Kuala Pilah itu masih belum dimuktamadkan pelaksanaannya," katanya.

Sebelum ini, projek Lebuhraya Seremban-Jempol menjadi antara cadangan dalam Draf Rancangan Tempatan daerah Jempol 2030 dan pembinaannya akan mengangkat taraf kehidupan rakyat dengan penambahbaikan fasiliti termasuk menjimatkan lagi masa perjalanan. - Bernama