ACT Wanita: Malaysian Tigress akur tewas separuh akhir

Iklan
Hasrat pasukan hoki wanita negara untuk mara ke perlawanan akhir Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) Wanita 2024 tidak kesampaian apabila tumpas 1-3 kepada China pada pusingan separuh akhir di Stadium Hoki Universiti Sukan Bihar, India, pada Selasa.

HASRAT pasukan hoki wanita negara untuk mara ke perlawanan akhir Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) Wanita 2024 tidak kesampaian apabila tumpas 1-3 kepada China pada pusingan separuh akhir di Stadium Hoki Universiti Sukan Bihar, India, pada Selasa.

Pada pertembungan itu, China bermula garang apabila berjaya menjaringkan tiga gol pada separuh masa pertama menerusi jaringan padang Deng Qiuchan pada minit ke-10 dan dua gol pukulan sudut penalti oleh Fan Yunxia dan Tan Jinzhuang masing-masing pada minit ke-17 dan 23.

Iklan
Iklan

Skuad kendalian Nasihin Nubli hanya berjaya mendapat gol tunggal pada separuh masa kedua menerusi Khairunnisa Ayuni Mohd Sharuddin yang berpunca daripada pukulan sudut penalti minit ke-36.

Kekalahan itu menyaksikan Malaysia Tigress akan turun pada aksi penentuan tempat ketiga dan keempat esok bertemu sama ada India atau Jepun yang akan bertarung dalam satu lagi aksi separuh akhir pada Selasa.

Iklan

Keputusan yang diraih pasukan hoki wanita negara pada edisi kali ini boleh dipuji apabila memperbaiki kedudukan kelima yang dicatat pada edisi lepas.

Dalam pada itu, Nasihin memuji aksi yang ditampilkan pasukannya meskipun tumpas di tangan China.

Iklan

Beliau berkata, corak yang ditampilkan anak buahnya lebih baik berbanding ketika bertemu dalam kejohanan yang sama pada pusingan round robin sebelum ini.

"Walaupun kita tewas, pemain-pemain memberikan aksi yang terbaik apabila kita boleh nampak pasukan negara ada peluang banyak untuk menjaringkan gol. Perlawanan hari ini berbeza daripada perlawanan awal, hari itu kita banyak pegang bola, buatkan pasukan China susah untuk menyerang pasukan kita.

"Kredit diberikan kepada semua pemain termasuk pemain muda kerana bekerja keras dan menunjukkan kita berada di tahap yang bagus untuk perlawanan akan datang.

"Untuk perlawanan esok (penentuan tempat ketiga dan keempat) kita akan bekerja keras bagi mendapatkan penamat podium,” katanya dalam audio yang dikongksikan Konfederasi Hoki Malaysia. - Bernama