SHAH ALAM - Kerajaan disaran mewujudkan pendidikan anti rasuah dalam sesi pembelajaran bagi mendedahkan kesan negatif kegiatan tersebut kepada murid seawal Tahun 1.
Pengerusi Gabungan Rasuah Busters Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya, Profesor Dr Hamdan Daniel M Sharib berkata, usaha tersebut mampu memberi impak kepada pemahaman pelajar dan menanam kebencian budaya rasuah dalam masyarakat.
Menurutnya, melalui proses pengajaran dan pembelajaran berkaitan integriti yang terancang, murid akan lebih memahami definisi, bentuk serta ciri-ciri amalan rasuah yang perlu dihindari.
"Sebenarnya, mendidik masyarakat di peringkat sekolah melalui pendidikan ini pilihan tepat. Ini kerana keterangan diberikan oleh cikgu lebih mudah difahami,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Sebelum ini, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, mendidik rakyat tentang rasuah penting untuk mempupuk budaya ketelusan, akauntabiliti dan integriti.
Beliau berkata, rakyat perlu diberi pendedahan berkaitan keburukan rasuah seawal peringkat sekolah rendah hingga ke institusi pendidikan tinggi.
Dalam pada itu, Hamdan Daniel berkata, masyarakat perlu terus menyokong usaha kerajaan untuk menghapuskan kegiatan berkenaan, tanpa rasa jemu.
Ujarnya, usaha menamatkan rasuah perlu melibatkan semua masyarakat supaya kemakmuran negara dari segi ekonomi dapat dirasai bersama.
"Apabila tiada ketirisan yang berlaku dalam tadbir urus kerajaan, rakyat Malaysia akan dapat kualiti hidup lebih baik.
"Kuncinya ialah dengan sama-sama memerangi rasuah yang bermula daripada diri kita sendiri. Tolak rasuah demi kemajuan kemakmuran negara tercinta,” katanya.