'Tangkaplah yang buat salah sahaja'

Iklan
Hampir keseluruhan penduduk di Rantau Panjang tidak bersetuju dengan tindakan Polis Kelantan mengeluarkan arahan untuk menahan mana-mana individu yang menyeberangi Sungai Golok menggunakan pangkalan haram mulai 1 Disember ini.

PASIR MAS - Keputusan menahan mana-mana individu yang berulang-alik ke Thailand melalui Sungai Golok mulai bulan depan dibimbangi boleh menjarakkan hubungan kekeluargaan terutama mereka yang tinggal di kawasan tersebut..

Hasil tinjauan Sinar Harian mendapati, rata-ratanya tidak bersetuju dengan arahan terbaharu itu.

Iklan
Iklan

Seorang penduduk yang ingin dikenali sebagai Jali berkata, hubungan rakyat Kelantan dan Thailand seumpama 'adik-beradik', malah ada yang memaklumkan mempunyai isteri serta anak di kedua-dua belah negara.

Bagi penduduk cukuplah dengan menahan orang yang membuat kesilapan seperti aktiviti penyeludupan.

"Kami di sini kebanyakannya mempunyai ahli keluarga di negara jiran. Jika sekadar berulang-alik guna pangkalan haram untuk melawat ahli keluarga dan ke pasar malam sepatutnya diberikan kelonggaran.

Hari biasa sudah sesak dengan motosikal dan kereta orang ramai terutama peniaga, ini belum lagi melibatkan pelajar sekolah pada sebelah pagi dan petang.

Iklan

Bagi seorang lagi penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai Mat, pula berharap arahan penahanan itu bersifat sementara sahaja disebabkan beberapa kes panas dilaporkan oleh media ketika ini melibatkan pangkalan haram di Sungai Golok.

Sungai Golok selain sebagai laluan utama yang hanya berjarak beberapa meter antara Malaysia-Thailand, ia juga sumber pendapatan kepada penduduk di sini terutama bot tambang.

"Saya sudah dengar isu hendak tutup pangkalan haram ini sudah banyak kali tetapi kesudahannya tidak dilaksanakan dan kembali seperti biasa.

Iklan

"Setiap kali tukar kerajaan, kepimpinan atau ada kes mesti isu ini akan ditimbulkan.

Jika betul sekatan ingin dilaksanakan seharusnya kerajaan mengambil langkah menaik taraf ICQS terlebih dahulu.

"Sebagai penduduk jati di sini sudah pasti kami tidak bersetuju untuk tutup laluan ini kerana ia sudah sebati dengan kehidupan.

"Lagipun jaraknya hanya beberapa meter antara Malaysia-Thailand, ia juga sumber pendapatan kepada penduduk di sini,” katanya.

Hasil tinjauan mendapati penduduk setempat menyenaraikan beberapa alasan kenapa tidak sehaluan dengan pihak berkuasa dan rata-rata mereka memberikan alasan hubungan rakyat Kelantan dan Thailand seumpama 'adik-beradik', malah ada yang memaklumkan mempunyai isteri serta anak di kedua-dua belah negara.

Polis Kelantan sebelum ini menegaskan tidak akan berkompromi dan menahan rakyat Malaysia yang menggunakan laluan yang tidak diwartakan untuk keluar masuk ke Thailand bermula 1 Disember ini.