PUTRAJAYA - Seorang wanita menzahirkan rasa kecewa apabila kucing kesayangannya yang dikenali sebagai Sara hilang dalam jagaan penjaga kucing (petsitter).
Menurut Anis Amira, Sara yang berusia 10 bulan daripada baka British Short Hair (BSH) itu dihantar ke rumah penjaga di Presint 15, di sini, pada 5 November lalu sebelum beliau dan suami berangkat menunaikan umrah selama dua minggu.
Sebaik sahaja tiba dari Tanah Suci pada Ahad, beliau terus menghubungi penjaga melalui aplikasi WhatsApp untuk mengambil Sara namun dimaklumkan kucing tersebut telah hilang.
"Kucing ini sangat bernilai untuk saya dan suami. Minta tolong kalau ada sesiapa nampak kucing ini untuk PM saya atau tulis di ruang comment," katanya di kumpulan komuniti Facebook, Pencinta Kucing Putrajaya.
Sementara itu, di laman X, Anis menyatakan sudah dua malam keluar mencari Sara namun pulang hampa.
Bagaimanapun beliau turut berterima kasih kepada individu yang sanggup membantu mencari Sara di kawasan sekitar dan berharap agar kucing tersebut ditemui dalam masa terdekat.