1,000 hari Perang Rusia-Ukraine

Iklan
Kempen pencerobohan berskala besar Rusia ke atas Ukraine memasuki hari ke-1,000 pada Selasa.

KIEV - Kempen pencerobohan berskala besar Rusia ke atas Ukraine memasuki hari ke-1,000 pada Selasa, sekali gus menandakan konflik paling berdarah di Eropah sejak Perang Dunia Kedua berakhir.

Perang berskala besar itu telah menyebabkan kemusnahan besar dan meragut ribuan nyawa.

Iklan
Iklan

Sehingga akhir Ogos lalu, Misi Pemantauan Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Kiev telah mendokumentasikan kira-kira 11,743 kematian orang awam manakala 24,614 yang lain dilaporkan cedera sepanjang tempoh lebih dua tahun lalu.

Ukraine percaya angka korban sebenar jauh lebih tinggi berikutan sukar untuk memperoleh data sebenar di kawasan seperti bandar pelabuhan Mariupol yang kini dikawal Moscow.

Iklan

Sebahagian besar kematian juga melibatkan anggota tentera di medan tempur terutamanya yang bertugas di barisan hadapan.

Tetapi, Rusia dan Ukraine masing-masing enggan mendedahkan jumlah sebenar askar mereka yang gugur di medan perang atas alasan maklumat rahsia negara.

Iklan

Angka yang dipaparkan menerusi rangkaian media adalah berdasarkan anggaran laporan risikan Barat dan mereka percaya Moscow berdepan kematian anggota tentera lebih ramai berbanding seterunya.

Pada Februari lalu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy mengumumkan, kira-kira 31,000 anggota tentera mereka terkorban selepas dua tahun peperangan itu tercetus.

Perang yang berlarutan selama lebih dua tahun itu juga memberi impak kepada kadar kelahiran di Kiev, menurun kepada kira-kira satu pertiga manakala lebih enam juga penduduk Ukraine melarikan diri ke negara-negara jiran dan dianggarkan hampir empat juta menjadi pelarian di dalam negara sendiri.

PBB menganggarkan populasi di Kiev menurun kepada 10 juta atau kira-kira satu perempat sejak perang itu bermula.

PERTEMPURAN BERTERUSAN

Rusia mendakwa ia telah menguasai kira-kira satu perlima wilayah di Ukraine yang bersamaan saiz negara Greece.

Moscow melancarkan kempen pencerobohan itu melalui utara, timur dan selatan Kiev pada Februari 2022 sebelum terus mara ke pinggir ibu kota dan menyeberangi Sungai Dnipro.

Orang awam dipindahkan melalui jambatan yang musnah dibedil di barat laut Kiev pada fasa awal peperangan tersebut.

Pada tahun pertama, tentera Ukraine berusaha mengusir pasukan musuh, namun Rusia tetap tidak berganjak dari kedudukan mereka di wilayah selatan dan timur setelah ia mengilhak Crimea pada 2014.

Kini, Moscow telah menawan hampir seluruh wilayah Donbas di timur dan Laut Azov di bahagian selatan Kiev.

Kebanyakan bandar utama di barisan hadapan yang dirampas Rusia juga binasa sepenuhnya.

Pada Ogos lalu, Ukraine dilaporkan melancarkan serangan mengejut pertama dan menguasai sebahagian besar wilayah Kursk di Moscow.

Ia kemudiannya berlarutan menjadi pertempuran semakin sengit hingga kini termasuk berbalas serangan dron terbesar dengan menyasarkan infrastruktur sensitif di Kiev dan Moscow.

IMPAK BESAR

Peperangan itu turut memberi kesan besar kepada ekonomi di Ukraine manakala Rusia di bawah tampuk pemerintahan Presiden Vladimir Putin tidak mendedahkan kerugian ditanggung mereka kepada umum.

Sehingga Disember 2023, kerugian yang dinilai Bank Dunia, Suruhanjaya Eropah (EC), PBB dan pemerintah Ukraine mendapati kerugian mencecah AS$152 bilion (RM714 bilion) melibatkan pelbagai sektor seperti perumahan, tenaga, pertanian, industri dan perdagangan.

Kos untuk pembinaan semula negara itu dianggarkan mencecah AS$486 bilion (RM2.28 trilion) iaitu 2.8 kali ganda lebih tinggi daripada keluaran dalam negara kasar nominal pada 2023.

Kawasan penempatan di ibu kota Ukraine yang dibedil pada awal September lalu.

Kiev yang merupakan salah sebuah negara pengeluar bijirin utama di dunia juga berdepan gangguan eksport pada awal peperangan tersebut hingga memburukkan krisis makanan global.

Ia bagaimanapun pulih secara berperingkat selepas Ukraine mencari alternatif untuk mengelakkan sekatan Moscow.

Ketika ini, Kiev memperuntukkan sebahagian besar bajet untuk pertahanan dan bergantung penuh kepada bantuan kewangan dari sekutu Barat.

Ketua Jawatankuasa Belanjawan Parlimen, Roksolana Pidlasa berkata, Ukraine terpaksa menanggung kos perang kira-kira AS$140 juta (RM658 juta) pada setiap hari. - Agensi