KECANGGIHAN teknologi terutamanya dalam konteks media sosial merujuk kepada kemajuan pesat dalam penggunaan dan pembangunan alat digital yang memudahkan komunikasi, interaksi dan pertukaran maklumat di seluruh dunia.
Media sosial merupakan salah satu contoh teknologi yang sangat berkembang pesat dalam dua dekad terakhir dan mengubah cara manusia berkomunikasi, bekerja, berhibur dan berinteraksi secara sosial.
Bagaimanapun, dalam kita menerima manfaat daripada kecanggihan teknologi kini, terdapat segelintir individu tidak bertanggungjawab bertindak menjadi 'gangster' siber.
Umum mengetahui bahawa siber buli merujuk kepada tindakan menakutkan atau merendahkan martabat orang lain menerusi menerusi platform digital dengan menyebarkan kebencian, ancaman atau perilaku negatif.
Berbeza dengan buli 'tradisional', siber buli boleh berlaku secara anonim dan tanpa sempadan geografi yang menjadikannya lebih sukar untuk ditangani.
Sebelum ini media melaporkan, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerima 8,339 laporan dan aduan berkaitan buli siber atau 27 kes sehari bagi tempoh Januari hingga 1 November lalu.
Menurut beliau, angka itu menunjukkan peningkatan ketara berbanding 10 kes sehari sebelum ini, sekali gus menyaksikan kepentingan penguatkuasaan pelesenan media sosial dalam mewujudkan ekosistem dalam talian yang lebih selamat kepada pengguna platform mereka.
Katanya, menerusi platform Facebook tahun lalu, jumlah penipuan dalam talian yang dilaporkan pihak Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) berjumlah RM432 juta kerugian kepada rakyat Malaysia.
Tambah Fahmi, bagi jenayah seksual terutama terhadap kanak-kanak melibatkan media sosial, jumlah kes pada 2023 adalah 525, manakala setakat 1 November 2024, 815 permohonan (menurunkan kandungan) telah dibuat berkaitan dengan kandungan child sexual abuse material (CSAM - bahan berkaitan penderaan seksual kanak-kanak) dalam media sosial.
Pada Ogos lalu, kerajaan telah mewartakan keperluan pelesenan ke atas penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial dengan pengguna melebihi 8 juta di Malaysia dan akan berkuat kuasa mulai 1 Januari tahun depan.
Pihak berkenaan perlu memohon Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi [ASP(C)] di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
Fahmi berkata, di bawah Akta 588, terdapat langkah-langkah perlindungan yang kukuh bagi mengimbangi keperluan kawal selia dan perlindungan kepada hak kebebasan bersuara serta kebebasan maklumat.
Tambah beliau, pelaksanaan kerangka pelesenan itu juga bertujuan menangani isu jenayah dalam talian tanpa menyekat inovasi dan pembangunan, sekali gus memastikan pengguna dapat menikmati pengalaman digital yang lebih selamat.
Inisiatif kerajaan merupakan satu usaha yang perlu disambut baik oleh semua pihak kerana ia merupakan antara kaedah untuk membendung atau mengurangkan kes siber buli di Malaysia.
Tindakan tegas sangat penting terutamanya melindungi mangsa siber buli daripada mengalami tekanan, kemurungan dan perasaan rendah diri atau lebih parah boleh membawa kepada pemikiran untuk membunuh diri.
Siber buli adalah masalah serius yang memerlukan perhatian segera daripada masyarakat, penguatkuasa undang-undang dan platform teknologi.
Melalui pendidikan, sokongan sosial, penggunaan teknologi untuk perlindungan dan penguatkuasaan undang-undang lebih ketat boleh membantu mengurangkan impak negatif buli siber dan mewujudkan persekitaran digital lebih selamat serta mesra.
Kepekaan terhadap isu ini adalah kunci untuk melindungi individu, terutama sekali golongan muda daripada menjadi mangsa buli siber yang boleh meninggalkan kesan mendalam dalam kehidupan mereka.