JAKARTA - Kesal jalan kampung rosak sejak belasan tahun tidak dibaiki, penduduk Kampung Suminta, Kecamatan Cikulur, Kabupaten Lebak membina replika kubur di jalan berkenaan.
Menurut penduduk kampung, Tuti, tujuan mereka bertindak sedemikian bagi menyindir Pemerintah Kabupaten Lebak (Pemkab) kerana permintaan mereka sebelum ini tidak diendahkan Pemkab.
"Padahal cuma 1 kilometer jalan di hadapan rumah penduduk kampung ini rosak.
"Masalahnya, isu ini sudah melarat belasan tahun, kami sudah penat menanti (pembaikan jalan)," katanya kepada wartawan pada Isnin.
Dalam pada itu, katanya penduduk kampung sebelum ini pernah beberapa kali menyampaikan permintaan mereka supaya jalan itu dibaiki, namun sehingga kini tiada pegawai pemerintah yang datang untuk melihat permasalahan berkenaan.
"Mudah-mudahan selepas tindakan kami ini, pemerintah terbuka hati mereka," kata Tuti.
Jalan yang rosak itu dipercayai merupakan jalan akses utama orang ramai, malah ia menghubungkan tiga kecamatan. Antaranya, Kecamatan Warunggunung, Cikulur dan Cibadak.
Keadaan bertambah parah apabila hujan, takungan air yang memenuhi jalan itu membuatkan pengguna sering tergelincir semasa memandu. - Agensi