Anak Kelantan timbang bola hingga ke Turin, Itali

Iklan
Zulhilmi beraksi menimbang bola ketika kejohanan di Itali.Foto kanan: Zulhilmi (kiri) berbangga kerana mampu menyertai pertandingan diperingkat dunia.

KOTA BHARU - Minat terhadap sukan bola sepak gaya bebas berjaya membawa pemuda dari Kampung Manal 2, Tanah Merah ke persada dunia dalam pertandingan sukan itu sejak lapan tahun lalu.

Sebelum ini tiada siapa pun pernah menyangka kebolehan Zulhilmi Zuaswa, 21, menimbang bola sehingga diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Iklan
Iklan

Zulhimi baru sahaja pulang daripada menyertai kejohanan dunia bola sepak gaya bebas di Turin, Itali selama seminggu yang berakhir Sabtu lepas.

"Sebelum itu saya perlu bertanding di peringkat Asia di Jakarta dan dipilih sebagai empat peserta terbaik Asia Pasifik daripada 60 peserta lain," katanya.

Iklan

Bercerita mengenai penglibatannya, kata Zulhilmi, segalanya bermula ketika dia berusia 13 tahun dan masih belajar di sebuah sekolah agama di Tanah Merah.

"Saya mula belajar menimbang bola dan memberanikan diri menimba pengalaman dengan menyertai kejohanan 'freestyle' pertama di Kuala Lumpur," katanya.

Iklan

Anak bongsu daripada tiga beradik itu memberitahu, mula menyertai kejohanan dunia pada usia 15 tahun di Poland.

Tidak hanya setakat itu, anak pasangan kontraktor dan pesara kerajaan ini kemudiannya tidak menoleh ke belakang selepas layak menyertai pertandingan kali kedua dan ketiga di peringkat dunia di Republic Czech.

Zulhilmi (duduk, dua kiri) ketika menyertai kejohanan di Jakarta.

"Alhamdulillah saya sudah menyertai pertandingan peringkat dunia sebanyak empat kali termasuk termasuk di Turin, Itali," katanya.

Zulhilmi juga bersyukur kerana ibu bapa dan adik-beradik sentiasa memberi sokongan terhadap minatnya walaupun pada mulanya ragu-ragu dengan pilihannya itu.

"Ada juga rakan-rakan yang meluahkan kata-kata sinis dengan keputusan saya bahawa sukan ini tiada masa depan tetapi saya sudah membuktikan bahawa mereka silap," katanya.

Jelasnya, bukan mudah untuk menapak sehingga berjaya kerana semuanya dilakukan sendirian tanpa sebarang penaja atau sokongan pihak luar.

Menurutnya, bola sepak gaya bebas tidak memerlukan ruang khas tetapi hanya perlu fokus ketika melakukan timbangan.

"Di luar negara, bola sepak gaya bebas sudah lama bertapak dan dijadikan sebagai karier selain pembinaan akademi khas untuk melatih golongan baharu," katanya.

Justeru, pemuda ini berhasrat mengubah persepsi masyarakat bahawa sukan ini juga mampu berkembang jika ada perintisnya.

"Insya-ALLAH saya akan berusaha untuk membina akademi dalam tempoh setahun dari sekarang dan melatih mereka yang berminat dalam sukan ini," katanya.