Zakat tak boleh jadi mainan politik, bahan sindiran

Iklan
Mohamed Sukri

SHAH ALAM - Pemuda Pas Selangor meluahkan rasa kurang senang dengan kenyataan dikeluarkan Ketua Whip Parlimen DAP, Nga Kor Ming yang membuat perumpamaan keadaan kedudukan kewangan DAPSY seperti 'asnaf miskin' melayakkan sayap itu menerima 'zakat'.

Ketuanya, Mohamed Sukri Omar berkata, menjadikan isu zakat sebagai bahan sindiran atau alat politik merupakan satu tindakan tidak bertanggungjawab.

Iklan
Iklan

Beliau menegaskan, zakat tidak boleh dan tidak sepatutnya digunakan dalam perbandingan dengan kedudukan mana-mana parti politik.

"Sikap DAP yang cuba memperlekehkan institusi zakat dengan kenyataan sedemikian adalah sangat dikesali, seolah-olah tidak memahami sensitiviti umat Islam dalam hal ini.

Iklan

"Pemuda Pas Selangor menggesa pihak DAP, khususnya Kor Ming, agar menarik balik kenyataan tersebut dan memohon maaf atas kenyataan yang menyentuh sensitiviti umat Islam," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Pada Kongres DAP Kebangsaan 2024 Ahad lalu, Kor Ming mengumumkan menyumbang satu bulan gajinya sebagai ahli Parlimen kepada DAPSY.

Iklan

Dalam ucapanya, beliau berkata, DAPSY antara parti paling miskin dalam negara, ibarat miskin papa kedana, seperti sudah masuk asnaf fakir miskin dan layak untuk mendapat zakat.

Mohamed Sukri berharap, tindakan sama tidak diulang lagi kerana boleh mencemarkan semangat keharmonian dan saling hormat antara kaum.

Pada masa sama pihaknya menyeru DAP dan semua pihak untuk lebih peka terhadap sensitiviti agama dalam membuat kenyataan awam.

"Dalam masyarakat berbilang kaum dan agama di Malaysia, kita seharusnya mengutamakan sikap saling menghormati serta tidak menggunakan sentimen agama untuk tujuan politik atau mengundang salah faham dalam kalangan rakyat.

"Kami juga ingin mengingatkan DAP bahawa membina sebuah masyarakat yang harmoni dan bertoleransi memerlukan komitmen untuk memahami keperluan serta sensitiviti antara agama.

"Pas sentiasa terbuka untuk berdialog dan berbincang dalam memastikan setiap pihak memahami peranan masing-masing dalam menjaga keharmonian masyarakat, namun kenyataan seperti ini hanya menimbulkan kekeliruan dan perpecahan," katanya.