KUALA LUMPUR - Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin dilepaskan dan dibebaskan di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu, daripada satu kes gagal mengisytiharkan lebih 70 harta.
Hakim, Azura Alwi memutuskan demikian selepas Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memberitahu bahawa pihak pendakwaan tidak berniat untuk meneruskan prosiding kerana Daim, 86, meninggal dunia pada 13 November lalu.
Pada 27 Ogos lalu, pihak pendakwaan memohon agar Daim menjalani pemeriksaan mental bagi memastikan beliau layak dibicarakan atau sebaliknya.
Pendakwaan menghujahkan, permohonan dibuat kerana tertuduh sering memohon dikecualikan kehadiran pada prosiding mahkamah.
Daim, 86, dan isterinya, Toh Puan Na'imah Khalid, 67, masing-masing menghadapi pertuduhan gagal mengisytiharkan 70 harta dan 12 harta manakala kedua-dua kes dijadual dibicarakan di hadapan Hakim Azura.
Pada 29 Januari lalu, Daim atau nama sebenarnya Che Abdul Daim Zainuddin didakwa atas pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta termasuk beberapa kenderaan mewah, syarikat dan hartanah di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah.
Anak kelahiran Alor Setar, Kedah itu didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan didenda maksimum RM100,000, jika sabit kesalahan.
AKAN MENYUSUL