Seberang Sungai Golok: Beri laluan khas untuk pelajar sekolah

Iklan
Melalui pangkalan haram pelajar hanya mengambil masa tidak sampai lima minit sahaja menaiki bot berbayar RM1 dan berjalan kaki untuk ke sekolah berhampiran. Gambar kecil: Fadhli

RANTAU PANJANG - Ibu bapa kepada ratusan pelajar yang tinggal di Thailand dan bersekolah di Kelantan mahu pihak berkuasa mewujudkan laluan khas di pangkalan haram Sungai Golok untuk kemudahan anak-anak mereka menuntut ilmu.

Ia berikutan tindakan Polis Kelantan mengeluarkan arahan untuk menahan mana-mana individu yang berulang-alik ke Thailand melalui Sungai Golok mulai 1 Disember ini.

Iklan
Iklan

Tinjauan Sinar Harian pada Rabu mendapati hampir 400 pelajar sekolah rendah, menengah dan agama menjadikan lebih enam pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok berhampiran Pekan Rantau Panjang sebagai 'pintu masuk' ke sini kerana mereka tinggal di Golok, Thailand.

Difahamkan, mereka mempunyai kerakyataan Malaysia hasil perkahwinan ibu atau ayah yang merupakan rakyat negara ini atau negara gajah putih.

Iklan
Ibu bapa kepada ratusan pelajar yang tinggal di Thailand dan bersekolah di Malaysia mahu pihak berkuasa mewujudkan laluan khas di pangkalan haram Sungai Golok untuk kemudahan anak-anak mereka menuntut ilmu.

Sinar Harian juga difahamkan mengikut rekod Kementerian Pendidikan hanya 150 pelajar mempunyai kerakyatan Malaysia yang tinggal di Thailand bersekolah harian biasa manakala selebihnya adalah aliran agama.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Rantau Panjang 1, Fadhli Mat Yusof berkata, ibu bapa mulai buntu memikirkan arahan terbaharu tersebut dan berharap ia dapat dilonggarkan khas untuk pelajar sekolah.

Iklan

"Jika hanya itu pilihan yang pihak berkuasa ada, kami mohon agar laluan khas dibuka di pangkalan haram Sungai Golok untuk pelajar sekolah yang tinggal di Thailand memasuki negara ini.

"Pada masa yang sama kami juga memohon kerajaan untuk menimbangkan kembali keputusan itu (manahan) memandangkan ramai pelajar tinggal di Thailand tapi bersekolah di sini (Kelantan) .

"Ia sudah menjadi tradisi zaman berzaman masyarakat di sini yang rata-ratanya berkahwin melibatkan dua negara," katanya kepada pemberita.

Menurut beliau yang juga Timbalan Yang Dipertua PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan Rantau Panjang, kemasukan melalui pintu masuk di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang memberikan kesukaran kepada pelajar apabila terpaksa beratur panjang di kaunter.

Katanya, selain itu ia dibimbangi boleh menyebabkan pelajar lewat ke sekolah kerana waktu operasi di ICQS bermula jam 7 pagi.

Fadhli memberitahu, pelajar akan berdepan kesesakan di ICQS serta jarak yang lebih jauh dari sekolah jika dibandingkan melalui pangkalan haram yang tidak sampai lima minit sahaja menaiki bot berbayar RM1 dan berjalan kaki.

Sinar Harian juga difahamkan mengikut rekod Kementerian Pendidikan hanya 150 pelajar mempunyai kerakyatan Malaysia yang tinggal di Thailand bersekolah harian biasa manakala selebihnya adalah aliran agama.

"Apabila ada laluan khas di pangkalan haram itu nanti pihak berkuasa juga boleh meletakkan anggota PGA (Pasukan Gerakan Am) untuk memantau para pelajar.

"Selebihnya kami berharap arahan terbabit ditangguhkan terlebih dahulu dan buat kajian semula," katanya.

Sinar Harian pada Isnin melaporkan Polis Kelantan tidak akan berkompromi dan menahan rakyat Malaysia yang menggunakan laluan haram untuk keluar masuk ke Thailand bermula 1 Disember ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, pihaknya kini menguatkuasakan Seksyen 5 (2) Akta Imigresen bagi mengelakkan lebih banyak kes jenayah termasuk penyeludupan dadah atau senjata api.

Menurutnya, kesemua rakyat Malaysia yang mahu ke Thailand tidak boleh lagi melalui 'lorong tikus' atau menggunakan laluan haram.