24,642 rumah siap bernilai RM14.24 bilion tidak terjual

Iklan
Lambakan rumah siap dibina tidak terjual disebabkan wujudnya kesenjangan antara permintaan dan penawaran rumah dalam pasaran. Gambar hiasan (Gambar kecil: Kor Ming)

SHAH ALAM - Sejumlah 24,642 unit rumah dengan nilai RM14.24 bilion yang siap dibina tidak terjual berbanding keseluruhan 128,032 unit rumah yang dilancarkan dalam tempoh sehingga suku kedua tahun ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata, data berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) itu turut meliputi unit rumah di bawah kuota Bumiputera yang tidak terjual di seluruh negara.

Iklan
Iklan

Menurutnya, lambakan rumah siap dibina tidak terjual disebabkan wujudnya kesenjangan antara permintaan dan penawaran rumah dalam pasaran.

"Ini merupakan situasi di mana perumahan yang dibina tidak memenuhi keperluan penduduk setempat sama ada daripada aspek kuantiti, kualiti mahupun harga berbanding pendapatan.

Iklan

"Bagi menggalakkan pembelian rumah, kerajaan juga turut menyediakan jaminan had pembiayaan sehingga RM500,000 bagi pembelian rumah pertama kepada mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap atau penyata gaji seperti golongan ekonomi gig termasuk golongan muda serta berpendapatan rendah dan sederhana.

"Inisiatif ini dilaksanakan melalui Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) di bawah inisiatif i-Biaya. Skim Jaminan ini tidak terhad untuk kediaman baharu sahaja, tetapi termasuk juga rumah sedia ada atau rumah lelongan," katanya dalam jawapan bertulis bagi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, pada Selasa.

Iklan

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Jalaluddin bin Alias (BN-Jelebu) mengenai sama ada berlakunya lambakan rumah lot Bumiputera yang tidak terjual di setiap negeri dan apakah tindakan yang dilakukan oleh Kementerian bagi mengatasi masalah tersebut.

Mengulas lanjut, Kor Ming menjelaskan, di bawah Pelan Transforformasi Ekonomi Bumiputera 2035 atau PuTERA35, kerajaan bercadang untuk melaksanakan kajian keselanjaran keperluan perumahan bagi meneliti keperluan dan penyediaan perumahan bagi golongan Bumiputera.

"Ini adalah bertepatan dengan matlamat PuTERA35 yang merupakan agenda menyeluruh negara ini untuk membangunkan ekonomi Bumiputera yang berteraskan nilai, akhlak dan integriti.

"Kerajaan Madani akan terus giat mengkaji dan meneroka pelbagai inisiatif dan penyelesaian agar kesejahteraan ekonomi dan dan sosial dapat diseimbangkan di mana rakyat mempunyai akses terhadap perumahan yang berkualiti dan mampu dimiliki tanpa menjejaskan pasaran hartanah serta ekonomi negara," katanya.