TELUK INTAN - Seorang lelaki yang dilapor hilang selepas terjatuh ke dalam Sungai Perak berhampiran Jambatan Sultan Yusuf, Batu 5 di sini ditemui lemas pada Rabu.
Mangsa dikenali sebagai Ng Weng Lum, 48, dari Taman Timur Jalan Sungai Sungai Nibong, di sini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan, Mohd Ismail Mohd Yunus berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian tersebut jam 7.15 pagi pada Selasa.
Menurutnya, sepasukan anggota dari BBP Teluk Intan dibantu beberapa agensi bergegas ke lokasi kejadian bagi melaksanakan operasi mencari dan menyelamat.
"Pencarian dilakukan di sekitar kawasan menggunakan bot selain bantuan daripada Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) yang membuat pencarian di permukaan untuk mencari mangsa.
"Mangsa berjaya ditemukan oleh nelayan sekitar jam 9 pagi di Jeti Tapak Semenang pada Rabu, kira-kira 4.5 kilometer (km) dari tempat mangsa dipercayai jatuh," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Mohd Ismail berkata, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk dihantar ke Hospital Teluk Intan bagi tindakan lanjut.
Menurutnya, terdahulu operasi pencarian dilakukan di kedua-dua arah Sungai Perak menghala ke Teluk Intan dan ke Bagan Datuk.
Pihaknya turut mendapatkan khidmat bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) dalam menjejaki mangsa di sekitar kawasan mangsa dipercayai terjatuh.
Jelasnya, pencarian dilakukan dalam radius 12km dari tempat mangsa dipercayai lemas bersama tiga unit bot Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), satu unit bot polis, satu unit bot Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan satu unit bot Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Teluk Intan.
Beliau berkata, sepanjang pencarian tersebut seramai 36 orang terlibat melibatkan anggota BBP Teluk Intan, PPDA, polis, Polis Marin, APM, PBS Teluk Intan dan Unit K9.
Menurutnya, susulan penemuan mayat mangsa, operasi mencari dan menyelamat tamat jam 10.15 pagi.