KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan (KPM) mempelawa semua pusat prasekolah swasta termasuk Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) yang dikendalikan Pas untuk mendaftar dengan kerajaan.
Timbalan Menterinya, Wong Kah Woh berkata, ia bagi membolehkan kanak-kanak di pusat tersebut dapat mengikuti kurikulum perdana yang disediakan kementerian itu sebagai persediaan sebelum memasuki Tahun Satu.
"Bagi KPM kita berharap semua tadika atau prasekolah mengambil inisiatif untuk mendaftar dengan kita supaya mereka (anak-anak) dapat menggunakan satu silibus atau kurikulum aliran perdana yang telah pun disediakan KPM.
"Bagi Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), kita telah adakan sesi libat urus supaya ia (juga) boleh berada dalam satu bumbung besar KPM.
"Kita berharap melalui sesi libat urus itu nanti, Pasti yang tidak berdaftar dengan KPM, tidak ikuti kurikulum yang sedia ada dapat didaftarkan supaya kementerian ini dapat memastikan kurikulum yang digunakan itu adalah selaras dengan kurikulum yang sedia ada dengan KPM,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Rabu.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) sama ada kerajaan bercadang untuk meneruskan modul pratahfiz di seloka rendah dan menengah melalui kaedah literasi bagi melahirkan pelajar yang cemerlang.
Mengulas lanjut, Kah Woh berkata, KPM memandang serius usaha untuk memastikan kanak-kanak mendapat pendidikan sewajarnya mengikut aliran arus perdana sebagai persediaan memasuki Tahan Satu nanti.
Katanya, langkah yang diambil itu juga selari dengan enam reformasi KPM sedang dilaksanakan yang mana salah satunya melibatkan prasekolah.
"Adalah menjadi hasrat KPM untuk memastikan anak-anak kita ikuti pembelajaran dan pendidikan prasekolah sama ada di bawah KPM, agensi lain, pihak swasta atau mana-mana badan berkenaan supaya bersedia apabila memasuki Tahun Satu nanti,” katanya.