'Pernah putus asa lawan sakit namun memilih berdamai dengan takdir'

Iklan
Keadaan Muhammad Razan yang disahkan leukimia B-cell acute pada November tahun lalu. Foto Ihsan Rozemi

KUANTAN – Pernah berputus asa untuk melawan kesakitan dihidapi ketika menjalani rawatan kemoterapi namun, Muhammad Razan Afzal Abdul Razak, 9, akhirnya memilih berdamai dengan takdir.

Ibunya, Rozemi Ngah, 51, berkata, anak bongsunya itu berjuang melawan penyakit leukemia sejak tahun lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Muhammad Razan pernah menyuarakan hasrat tidak mahu meneruskan kemoterapi di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, kerana berasa terlalu sakit.

"Muhammad Razan pernah cakap tidak mahu teruskan kemoterapi sebab sakit sangat.

Iklan

"Saya sebagai ibu sebak namun, minta dia tahan sakit. Saya perlu kuat semangat untuk terus menyokongnya," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Rozemi (kiri) mengakui perlu menjadi orang penting dalam memberi semangat kepada anak bongsu yang menghidap penyakit leukemia.

Bercerita lanjut, Rozemi yang menetap di Felda Panching Selatan memberitahu, anaknya tidak menunjukkan sebarang tanda sakit yang serius pada awalnya.

Iklan

Ujarnya, Muhammad Razan hanya demam berulang selama dua minggu sekitar Oktober tahun lalu.

"Pada sebelah malam, dia demam, tetapi siangnya masih pergi ke sekolah hinggalah suatu hari dia cakap dah tak daya nak angkat beg," katanya.

Menurut Rozemi, Mohammad Razan dibawa ke klinik untuk pemeriksaan lanjut selepas menyedari terdapat kesan lebam pada badan dan wajahnya yang semakin pucat.

Katanya, keputusan ujian darah mengejutkan seluruh keluarga apabila Mohammad Razan disahkan menghidap leukemia di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

"Terduduk saya bila dengar keputusan itu, tapi saya perlu reda dan kuat kerana Muhammad Razan perlu semangat saya untuk terus berjuang," katanya yang terima dengan hati terbuka ujian daripada ALLAH.

Rozemi berkata, pada waktu itu doktor memberi dua pilihan sama ada membawa Muhammad Razan menjalani rawatan kemoterapi di HSNZ atau Hospital Kuala Lumpur.

"Selepas berbincang, kami memilih untuk mendapatkan rawatan di HSNZ kerana lebih dekat. Anak saya mempunyai semangat yang kuat melawan penyakit leukemia walaupun masih muda.

"Saya akan berusaha bagi memastikan Muhammad Razan menerima rawatan mengikut jadual yang ditetapkan,” jelasnya.

Rozemi mengakui berdepan kesempitan bagi menampung kos ulang-alik untuk tujuan rawatan kemoterapi Muhammad Razan dalam tempoh dua tahun setengah.

Katanya, dari segi rawatan Muhammad Razan, keluarga tidak mempunyai masalah kerana surat dikeluarkan daripada pihak sekolah bagi tujuan itu.

"Cuma kos pergi dan balik ke sana (hospital), suami kerja sebagai mekanik dengan pendapatan yang tidak tetap dan saya suri rumah sepenuh masa.

"Ada kalanya saya terpaksa meminjam wang daripada adik-beradik dan saudara-mara, mujur mereka semua memahami dan banyak membantu," katanya.

Walaupun berdepan dengan kepayahan hidup, Rozemi menjelaskan bahawa mereka tidak pernah meminta bantuan secara terbuka, namun tidak menolak jika ada pihak yang sudi meringankan beban kos rawatan anaknya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Rozemi di menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank bernombor 1562 2615 5153.