JPJ cadang wujudkan notifikasi maklum tarikh tamat lesen - Anthony

Iklan
Anthony Loke pada Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen, pada Rabu. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bercadang untuk mewujudkan fungsi notifikasi permakluman tarikh tamat tempoh Lesen Kenderaan Motor (LKM) menerusi aplikasi MyJPJ.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, penambahbaikan itu dibuat selari dengan agenda pendigitalan jabatan berkenaan.

Iklan
Iklan

"Fungsi ini akan dimaklumkan kepada umum apabila ianya siap dibangunkan dan sedia untuk digunakan.

"Saya mengalu-alukan cadangan daripada Ahli Yang Berhormat Hulu Selangor untuk kita wujudkan fungsi notifikasi ini supaya orang ramai dapat memperbaharui LKM mereka,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Rabu.

Iklan

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Mohd Hasnizan Harun (PN-Hulu Selangor) berhubung langkah kementerian bagi mengingatkan pemilik kenderaan agar tidak terlupa untuk memperbaharui LKM memandangkan sistem road tax digital tidak memerlukan pelekat cukai jalan dipamerkan.

Anthony menjelaskan, sejak inisiatif pendigitalan JPJ dilancarkan, kementeriannya dan jabatan itu sentiasa komited untuk menambah baik aplikasi MyJPJ dari semasa ke semasa untuk meningkatkan tahap penyampaian perkhidmatan atas talian kepada orang ramai.

Iklan

Katanya, antara penambahbaikan terkini yang dilaksanakan adalah pengenalan fungsi pembaharuan LKM dan pembaharuan Lesen Memandu (LMM) yang telah dibuka kepada orang awam sejak 1 Februari 2024.

"Seperti Ahli Yang Berhormat sedia maklum, MOT pada 10 Februari 2023 telah mengumumkan inisiatif pendigitalan JPJ yang melibatkan LKM atau cukai Jalan dan LMM.

"Inisiatif ini telah dilaksanakan secara berperingkat dengan fasa pertama melibatkan mod paparan digital e-LKM dan e-LMM bagi kenderaan persendirian individu iaitu warganegara yang boleh diakses melalui Portal Awam JPJ atau Aplikasi Mobile MyJPJ,” katanya.