KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kementerian Pengangkutan (MOT) merekodkan kutipan sebanyak RM121 juta menerusi aplikasi digital MyJPJ sejak ia dilaksanakan sehingga 31 Oktober tahun ini.
Menterinya, Anthony Loke berkata, secara keseluruhan seramai 13.7 juta pengguna telah memuat turun sistem berkenaan sejak dilancarkan tidak sampai dua tahun lalu.
Menurutnya, jumlah pengguna yang memperbaharui lesen dan cukai jalan menggunakan aplikasi berkenaan pula mencecah satu juta orang.
"MOT merupakan antara agensi yang paling menyokong pendigitalan negara bukan sahaja untuk meningkatkan kecekapan pengguna dan jabatan tetapi turut menjimatkan daripada segi percetakan.
"(Selepas aplikasi MyJPJ diperkenal) Kita tidak perlu lagi mencetak dengan banyak (kertas untuk lesen dan cukai jalan) tapi (kita sedar) masih ada rungutan daripada orang ramai yang masih ingin melihat atau cetak lesen dan cukai jalan,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Rabu.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) mengenai jumlah penjimatan yang dapat dikurangkan selepas aplikasi MyJPJ diperkenalkan.
Mengulas lanjut, Anthony yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata, satu pengumuman mengenai inisiatif kepada mana-mana pihak atau orang ramai yang ingin mencetak lesen secara fizikal akan dibuat tahun depan.
"Bagi mereka yang ingin mencetak lesen secara fizikal mungkin kena bayar. Namun, ingin ditegaskan bahawa MOT tidak akan toleh ke belakang dalam aspek pendigitalan ini.
"Sebaliknya kita akan terus bergerak ke depan untuk tambah baik agar proses pendigitan ini dapat berjalan dengan baik,”katanya.
Sementara itu, Anthony turut menegaskan, pegawai dan anggota JPJ tidak lagi memeriksa lesen atau cukai jalan fizikal ketika menjalankan sekatan jalan raya.
Katanya, pasukan yang terlibat dalam operasi berkenaan dilengkapi dengan alat khas untuk menyemak status cukai jalan dan lesen secara digital.