MELAKA - Gara-gara menjual minyak masak secara berlebihan, sebuah syarikat pembekal didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, pada Rabu.
Syarikat Lesong Food Industries Sdn Bhd yang diwakili pemiliknya, Datuk Dr Zaini Md Taha dijatuhi hukuman itu sebaik mengaku bersalah sejurus pertuduhan pindaan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Azaraorni Abdul Rahman.
Berdasarkan pertuduhan, syarikat pembekal itu didapati telah menjual 240 unit minyak masak lima kilogram jenama Lesong dengan jumlah 1,200 kilogram yang mana jumlah itu telah melebihi had kuantiti dalam lesen runcit Syarikat Era Prestij Resources.
Tindakan tersebut dilakukan di premis Lesong Food Industries Sdn Bhd di Jalan Bestari 5, Bandar Jasin Bistari, Seksyen 2, Jasin pada 13 Ogos 2021.
Difahamkan ketika serbuan itu, barang kawalan minyak masak dijumpai 700 kilogram (kg) yang melebihi kuantiti dibenarkan dalam lesen runcit syarikat berkenaan iaitu 500 kg sahaja.
Siasatan lanjut mendapati, pembekal minyak masak kepada syarikat itu ialah syarikat pemborong Lesong Food Industries Sdn Bhd.
Pendakwaan diwakili Pegawai Pendakwa KPDN Muhammad 'Aqib Hasan Azhari dan Muhamad Ashraf Nashruddin Ahmad nazri manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Hujah pihak pendakwaan, memohon mahkamah menjatuhkan denda yang tinggi kerana ia adalah kesalahan serius melibatkan kepentingan awam.
Namun tertuduh dalam rayuannya memohon denda yang paling rendah kerana hanya mampu menyediakan RM10,000 dan syarikatnya di Melaka juga tidak lagi beroperasi selain mempunyai anak yang masih kecil.
Mahkamah kemudian mengarahkan syarikat tertuduh didenda sebanyak RM20,000.