KUALA LUMPUR - Sekumpulan Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) memulakan inisiatif mengumpul maklumat atau aduan daripada orang ramai mengenai caj hospital swasta dan insurans perubatan yang melambung tinggi ketika ini
Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin berkata, pihaknya akan meneliti segala aduan yang diterima untuk tindakan seterusnya dan memberi cadangan penyelesaian kepada kerajaan.
"Seperti yang kita sedia maklum, prosedur perubatan dikawal oleh Akta Fi tetapi tiada kawalan bagi caj-caj lain. Apabila kita masuk hospital, soalan pertama yang ditanyakan sama ada kita ada insurans atau tidak. Golongan yang mempunyai insurans akan dicaj tinggi tetapi mereka memang tidak ada pilihan.
"Jika caj hospital swasta melambung tinggi, ini akan menyebabkan golongan M40 yang mampu menanggung bil hospital menjadi tidak mampu.
"Mereka akan pergi ke hospital dan klinik kerajaan. Hospital kerajaan akan dibebankan dengan pesakit yang semakin bertambah dan kesesakan tersebut akan menjejaskan peluang golongan B40 mendapat rawatan di hospital,” katanya ketika sidang akhbar di Pusat Media Parlimen di sini pada Rabu.
Beliau menambah, orang ramai boleh menghantar aduan melalui e-mel aduan.pkr.hospital.insurans@gmail.com.
Tze Tzin menerusi hantaran di media sosialnya sebelum ini menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) meneliti semula mekanisme kawalan caj hospital swasta yang dilihat semakin meningkat setiap tahun.
Ujarnya, ia bakal membebankan hospital kerajaan jika tidak ditangani segera kerana pesakit mungkin kurang berkemampuan untuk membayar bil dikenakan hospital swasta selepas ini.
Menurut beliau, ketika isterinya melahirkan anak sulung pada 2010, bil yang dikenakan hanya RM2,000, lama-kelamaan meningkat kepada RM4,000 hingga RM6,000 apabila bersalin anak kedua dan ketiga.