SEREMBAN - Empat penguat kuasa direman empat hari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki meminta dan menerima rasuah.
Perbuatan itu sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang bagi kesalahan cukai jalan dan permit Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) yang telah tamat tempoh.
Iklan
Iklan
Perintah reman terhadap suspek bermula pada Rabu sehingga 24 November ini dikeluarkan oleh Majistret, Nurul Azuin Mohd Talhah di Mahkamah Majistret di sini.
Menurut sumber, keempat-empat suspek lelaki berusia antara 20 hingga 40-an itu telah ditahan kira-kira jam 5 hingga 6 petang pada Selasa ketika hadir bagi memberi keterangan di Pejabat SPRM Negeri Sembilan.
"Siasatan awal mendapati kesemua suspek dipercayai melakukan perbuatan meminta dan menerima rasuah pada 12 November lalu di Lebuhraya PLUS berhampiran Hentian Rehat dan Rawat Seremban.
"Salah seorang suspek disyaki menerima wang rasuah melalui transaksi pindahan ke akaun bank milik seorang individu lain (pihak ketiga) berjumlah RM1,000,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.