SHAH ALAM - Pemilik atau pengusaha kilang tanpa kebenaran (KTK) perlu menyertai program pemutihan dengan mengemukakan permohonan tukar syarat kepada perindustrian.
Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri Selangor, Datuk Ng Suee Lim berkata, kegagalan pemilik berbuat demikian boleh menyebabkan tanah mereka dirampas.
"Pemilik tanah disenaraikan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) sebagai lot yang melanggar syarat kerana terdapat struktur kilang di atas tanahnya akan diberikan Notis 7A (seksyen 128) Kanun Tanah Negara (KTN) (Akta 828) untuk pemulihan.
"Keingkaran pemilik tanah untuk mematuhi notis tersebut boleh mengakibatkan tanahnya dilucut hak (dirampas) dan menjadi tanah kerajaan," katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Rabu.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sementa, Noor Najhan Mohamad Salleh mengenai tindakan pihak kerajaan ke atas KTK di tanah pertanian.
Beliau berkata, tindakan KTK atas tanah pertanian sama seperti dilaksanakan terhadap mana-mana tanah yang melanggar syarat di bawah seksyen 125, Kanun Tanah Negara (KTN) (Akta 828).
Ujarnya, tindakan boleh diambil oleh Pentadbir Tanah di bawah seksyen 127, KTN (Akta 828).
"Di bawah program pemutihan, mana-mana KTK yang tersenarai dalam inventori sebelum 28 Ogos 2019 adalah layak untuk mendapat insentif di bawah program pemutihan ini.
"Melalui inisiatif program pematuhan syarat dan penguatkuasaan KTK Negeri Selangor Tahun 2025-2027 yang baharu, kerajaan Selangor mengambil pendekatan lebih serius dan holistik.
"Ia melalui penawaran insentif secara 'carrot and stick' (ganjaran dan hukuman) terhadap pemilik tanah dan pengusaha kilang yang terlibat dengan KTK agar mereka mengemukakan permohonan menukar syarat kepada kategori perindustrian," katanya.