Insiden budak tercampak: Pemandu Myvi direman tiga hari

Iklan
Tular video seorang kanak-kanak lelaki nyaris maut selepas tercampak keluar dari kenderaan yang dinaiki bersama keluarga yang hilang kawalan selepas dihimpit sebuah kenderaan.

REMBAU - Seorang lelaki direman tiga hari bagi membantu siasatan kes kemalangan sehingga menyebabkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 2 tahun tercampak keluar dari kenderaan dalam kejadian di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, Isnin lepas.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri Sembilan, Deputi Superintendan Shaifulizan Sulaiman berkata, reman bagi pemandu Myvi berusia 20 tahun itu dikeluarkan Majistret Tan Chai Wei di Mahkamah Majistret Rembau, di sini bermula hari ini sehingga 14 Februari.

Iklan
Iklan

Lelaki berkenaan yang memakai kemeja-T dan berseluar pendek berwarna hitam tiba di mahkamah pada kira-kira 9.30 pagi, diiringi anggota polis.

Semalam, rakaman video kejadian berkenaan yang berdurasi 59 saat tular di media sosial Facebook dan mendapat perhatian ramai netizen.

Iklan

Dalam kejadian pada 3.21 petang di kilometer 235.5 Lebuhraya PLUS berhampiran Senawang, seorang kanak-kanak lelaki nyaris maut selepas tercampak keluar dari kenderaan yang dinaiki bersama keluarga yang hilang kawalan selepas dihimpit sebuah kenderaan.

Susulan rakaman video berkenaan, pemandu Perodua Myvi yang dipercayai menghimpit kenderaan berkenaan ditahan di Batu Berendam, Melaka, kira-kira jam 4.50 petang, semalam. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN Kanak-kanak tercampak atas lebuh raya

Iklan