Sarawak vs Petronas: Pertikaian minyak dan gas yang belum selesai

Iklan
Menurut seorang peguam, Liew Teck Huat, hak ke atas pelantar benua di luar pantai Malaysia, termasuk Sarawak milik eksklusif Petronas berdasarkan Akta Pembangunan Petroleum dan bukan kepada negeri itu sendiri, (Gambar Petra Energy)

SHAH ALAM - Konflik antara Petronas dan Kerajaan Negeri Sarawak terus hangat diperdebatkan, dengan persoalan utama: siapakah pemilik sebenar sumber minyak dan gas yang terkandung di pelantar benua luar pantai Sarawak?

Menurut Seksyen 2 Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974, Petronas memegang hak pemilikan eksklusif ke atas semua sumber petroleum di daratan dan luar pesisir.

Iklan
Iklan

Namun, Sarawak mempertahankan haknya melalui Ordinan Minyak dan Perlombongan (OMO) 1958, dengan mendakwa bahawa undang-undang tersebut masih sah dan boleh ‘wujud bersama’ PDA.

Kerajaan negeri berhujah, pelantar benua tersebut berada dalam sempadan Sarawak sejak 1954, berdasarkan perintah Sarawak (Alteration of Boundaries) Order in Council yang dikeluarkan oleh Ratu Elizabeth II. Sempadan itu, menurut Sarawak kekal utuh ketika negeri tersebut menyertai Malaysia pada 1963.

Iklan

Pertikaian ini menjadi lebih signifikan kerana kawasan tersebut merangkumi Gugusan Beting Luconia di Laut China Selatan, yang dianggarkan mengandungi 60 peratus daripada sumber minyak dan gas negara. Kawasan ini juga merupakan pengeluar utama gas asli cecair (LNG) Malaysia, menyumbang hingga 90 peratus eksport LNG Petronas.

Namun, Sarawak kini menuntut lebih daripada 5 peratus royalti minyak yang diterima selama ini. Negeri itu mahukan bahagian lebih besar, dengan alasan ia memiliki hak eksklusif ke atas sumber luar pesisirnya.

Iklan

Tengku Razaleigh:"Itu bukan minyak mereka"

TENGKU RAZALEIGH


Memetik laporan dari FMT, bekas Menteri Kewangan dan Pengerusi pertama Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah, menolak tuntutan Sarawak.

"Ia bukan minyak mereka. Ini tidak pernah dibincangkan ketika Perjanjian Malaysia 1963 dirangka,” katanya kepada FMT.

"Sarawak perlu mematuhi perjanjian royalti yang telah dimeterai. Perjanjian adalah perjanjian,” ujarnya kepada FMT.

Pertikaian undang-undang dan sempadan maritim

Sarawak berhujah bahawa pelantar benua itu merupakan sebahagian daripada wilayahnya sejak 1954, apabila sempadannya diperluaskan untuk merangkumi kawasan dasar laut melalui perintah Diraja. Namun, peguam maritim Liew Teck Huat mempersoalkan hujah ini dalam laporan oleh FMT.

Liew menjelaskan, konsep pelantar benua hanya ditakrifkan secara rasmi dalam Konvensyen PBB 1982 mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS). Malaysia, sebagai penandatangan UNCLOS, menetapkan haknya ke atas pelantar benua melalui Akta Laut Wilayah 2012.

"Unclos secara rasmi diterima pakai sebagai sebahagian daripada undang-undang Malaysia apabila Akta Laut Wilayah 2012 diluluskan oleh Parlimen berikutan pembatalan Proklamasi Darurat 1969 pada Disember 2011,” katanya.

TECK HUAT


Beliau berkata, naratif Sarawak bahawa Akta Laut Wilayah diluluskan untuk membetulkan kesilapan dalam sempadan atau ia tidak mengikut Perlembagaan kerana tidak mematuhi Perkara 2(2) Perlembagaan adalah tanpa asas.

"Dalam apa jua keadaan, mana-mana perundangan yang diluluskan oleh Parlimen mesti dianggap sah dan boleh dikuatkuasakan melainkan dibatalkan oleh mahkamah.

"Pihak yang menegaskan bahawa sesuatu undang-undang itu bercanggah dengan Perlembagaan – dalam kes ini Sarawak – untuk mencabarnya di Mahkamah Persekutuan,” kata Liew.

Beliau juga mendakwa bahawa had 200 batu nautika yang diperuntukkan Unclos adalah untuk Malaysia, sebagai pihak yang menandatangani perjanjian antarabangsa itu.

"Ini bermakna hak ke atas pelantar benua, termasuk di luar pesisir Sarawak, adalah milik negara. PDA dan Akta Laut Wilayah adalah sah dan boleh dikuatkuasakan,” kata Liew.

Pertembungan antara undang-undang negeri dan persekutuan ini mengheret isu sempadan, hak negeri dan kuasa kerajaan pusat.

Selagi ia tidak diputuskan secara muktamad oleh Mahkamah Persekutuan, konflik antara Petronas dan Sarawak dijangka akan terus berlanjutan.

Adakah ini hanya soal hak milik, atau lambang perjuangan autonomi Sarawak? Masa yang akan menentukan.

Layari laporan FMT yang meneroka kesahihan tuntutan Sarawak terhadap hak tunggal sumber tenaga yang ditemui sehingga 200 batu nautika dari pinggir perairan wilayahnya: https://www.youtube.com/watch?v=Xo1BhY3oOBA