KUALA LUMPUR - Dakwaan cadangan untuk meminda Akta Mesin cetak dan Penerbitan (PPPA) 1984 dibuat bagi memperketatkan peraturan kepada penerbit dan pengamal media hanya khabar angin.
Dakwaan peraturan yang lebih ketat untuk penerbit dan pengamal media susulan cadangan pindaan Akta Mesin cetak dan Penerbitan (PPPA) 1984 hanya khabar angin.
Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin berkata, langkah yang dibuat kerajaan tidak seperti digambarkan pihak tertentu hingga boleh mendatangkan kebimbangan.
"Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menangani isu ini dan saya rasa mereka akan bawa ke Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Parlimen juga.
"Buat masa ini, ia hanya khabar angin,” katanya ketika sidang akhbar di Pusat Media Parlimen di sini pada Rabu.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai langkah yang akan diambil ahli Parlimen di Dewan Rakyat bagi memastikan tiada pindaan regresif diluluskan apabila perkara itu dibentang nanti.
Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ), Pusat Kewartawan Bebas (CIJ) dan Gerakan Media Merdeka (Geramm) sebelum ini membangkitkan kebimbangan susulan kerajaan didakwa akan meminda PPPA termasuk mengenakan keperluan perlesenan bagi media dalam talian.
Susulan itu, beberapa pihak juga tampil menyatakan kebimbangan sekiranya pindaan itu benar-benar dibuat kerana memberi kesan kepada kebebasan akhbar di negara ini.